Pages

Showing posts with label Oh Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Oh Ramadhan. Show all posts

Thursday, May 25, 2017

Eyh, Ramadhan nak datang lagi?


F.I.F.A



Ramadhan.

Satu perkataan yang sangat femes akhir-akhir ini. Mana taknya, tetamu yang dinantikan bakal tiba tak lama lagi.

Bayangkan anda seorang ibu/bapa, dan anak kesayangan anda yang berada jauh di perantauan bakal pulang ke rumah selepas setahun atau lebih tidak menjejakkan kaki di rumah tercinta, (ataupun pulang berhari raya).

Lalu apa yang anda akan lakukan?

Tentunya awal pagi lagi anda sudah bersilat di dapur untuk menyediakan makanan feveret beliau sambal udang petai dan mengemas bilik tidurnya dengan kemas dan bersih!

Bestnya!

Betapa si ibu dan bapa merindui dan menanti-nanti kepulangan anak mereka. tak sabar menungu si anak mengetuk pintu rumah.

Bagaimana pula jika yang bakal mengetuk pintu rumah anda adalah Ramadhan beserta seluruh kebaikannya, maka apakah persediaan anda?

***

 “Barang siapa mendirikan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan kebaikan, maka akan diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari – Muslim)


Hadis yang femes berkaitan puasa, sentap masuk ke dalam hatiku tika dibacakan oleh ustaz di kuliah semalam.

Hadis yang simple, namun penuh makna.

Kita lihat, zaman kini, semakin berkurangnya mereka yang boleh dijadikan qudwah solehah di dalam kehidupan. Kerana ramai orang-orang soleh yang telah meninggal, serta semakin bertambah maksiat dan fasad (kerosakan) dan pelakunya, sehingga mereka yang fasik ini menjadi contoh tauladan oleh orang ramai.

Lihat di FB atau IG betapa banyak fesyen bertudung litup tetapi berpakaian ketat, kononnya hipster.

Atau pun filem/ drama TV menonjolkan abam-abam sado yang jalan ceritanya bertentangan dengan islam.

Ataupun orang alim sibuk perang  FB tentang politik yang tak pernah selesai.

Juga ustaz-ustaz yang mendakwa mampu merawat tulang patah tanpa perlu ke hospital/ membuat MRI. Eh!

Maka sudah sampai waktunya untuk kita menyusuri kembali perjalanan hidup Rasulullah dan salafus soleh supaya kita mendapat bekalan untuk meneruskan kehidupan serta menjadikan mereka contoh dan idola kepada kita dan anak-anak.

Supaya kita dapat menjejaki mereka menuju Allah.

Lalu bagaimana sepatutnya kita meraikan Ramadhan yang bakal tiba 2 hari lagi?

Untuk menjadikan Ramadhan 2017 kita OSEM, maka kita perlu:


1-  Mengalu-alukan Ramadhan dengan hati terbuka dan keazaman yang tinggi
Buka pintu hati dan set azam/ wish list untuk memburu pahala di bulan Ramadhan

2-  Memerhatikan tentang ibadah puasa yang bakal dilalui
Tanamkan niat, puasa kali ni bukan sekadar penat, lapar dan dahaga sahaja. Tapi kita nak usaha menjaga puasa daripada perkara yang membatalkan/ merosakkan atau  berkurangnya pahala puasa.

Contohnya macam bergosip/ mengumpat di pantry dengan rakan sekerja. Shopping berlebihan semasa berbuka puasa. Habiskan masa shopping baju raya online. Solat di akhir waktu.

3-  Merancang qiamullail yang bakal didirikan
Set alarm supaya sempat qiamulail dan sahur. Alaaa, solat sunat 2 rakaat pun dah okay. Tuhan dah bagi kita pelbagai rahmmacam-macam nikmat, so kenapa kita kedekut untuk spent masa bersamaNya?

4-  Memikirkan seramai mana manusia yang bakal diberikan makanan ketika berbuka
Buat target untuk belanja orang lain berbuka puasa. Di masjid-masjid, anak yatim, gelandangan, orang miskin etc.

Kalau tak tau nak salurkan duit kepada siapa, boleh PM saya. Saya tahu ke mana tempatnya

5-  Meningkatkan rasa simpati dan prihatin kepada fakir miskin dan anak yatim
Cuba letak diri kita pada kasut mereka. Kita rakyat marhaen ni pun rasa sesak bila nak hidup, duit cukup-cukup untuk makan, minyak kereta, tol, bagi duit belanja mak ayah.
Alhamdulillah Allah masih beri nikmat kepada kita kerana masih punya ibu ayah untuk spent bersama. masih punya wang untuk berbuka puasa.

Tetapi bagaimana nasib mereka yang miskin dan anak yang telah kehilangan ibu bapa?

6-  Bersemangat untuk memperbaiki kualiti tilawah al quran

Rasulullah SAW bersabda “ barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al Quran, maka ia mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Laam Mim adalah satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan mim satu huruf

Tilawah bukan sekadar nak khatam 1 al quran dalam bulan Ramadhan, tetapi untuk mengambil dan tadabbur pengajaran di dalamnya.


7-  Mementingkan amalan bersahur kerana yakin akan keberkatan  dan kelebihannya
Jangan malas untuk sahur. Alang-alang sebab banyak keberkatannya. Plus dapat solat subuh awal waktu, sekali sekala dalam bulan Ramadhan ni, elakkan subuh gajah kan bagus juga!

8-  Bersegera berbuka puasa dengan sederhana (tamar dan air) dan Tidak meninggalkan amalan berdoa semasa berbuka
Jangan buzy sangat di dapur untuk menyediakan makanan berbuka. Sediakan makanan yang simple-simple aja. Cukup untuk mengalas perut untuk solat terawih. Kalau tak sempat, boleh beli di bazaar Ramadhan dengan kadar yang sederhana.

Atau sambil2 di dapur tu, ambil masa seminit dua sebelum azan untuk perbanyakkan istighfar dan berdoa, InsyaAllah itu antara waktu makbulnya doa-doa kita.

9-  Berharap dan bersungguh-sungguh mengejar lailatul qadr
Ibadah satu malam yang pahalanya sama seperti beribadah 83 tahun. Siapa taknak?

dunia akhir zaman ni, siapa la yang hebat sangat boleh hidup 83 tahun?

Tapi bukan sekadar berdoa je, kena berusaha untuk mengejarnya.

10-               Beriktikaf di masjid terutamanya pada akhir 10 ramadhan
Kejutkan anak-anak dan kawan bilik untuk sama-sama melepak di masjid.
Bayangkan duduk dia di masjid pun dapat pahala. Apatah lagi kalau beribadah.

11-               Bersemangat dan bersungguh2 memburu ganjaran dan janji Allah

Satu bulan, 30 hari ni kalau diikutkan sekejap je akan berlalu. So, jangan sambil lewa.

Set niat dan tuliskan apa yang kita nak capai sepanjang Ramadhan ni.
Rugi kalau tak dapat manfaatkan sebaiknya.


Mari kita fikirkan, kita nak jadi Typikal Malaysian yang 'hooray' dengan kedatangan ramadhan kerana tidak sabar mahu menyambut syawal, atau kita nak jadi yang sebaliknya?


Mari, kita reset semula niat kita. Jangan bertangguh!

Letakkan target kita untuk merebut sebanyak-banyaknya peluang kebaikan dan keampunan yang telah disediakan di depan mata ini.

Mungkinkah ini ramadhan terakhir buat kita??

(T__T)


Mari jadikan Ramadhan kali ini pesta ibadah, dan bukannya pesta makanan.


Ya Allah, berkatilah Ramadhan kami.
Allahumma balighna Lailatul Qadr~ Ameen Ya Rabb!


Jom semua!! Mari kita panaskan enjin masing-masing. Sudah sampai masa untuk memecut!

Mari kita masuk ke bulan Ramadhan ini dengan penuh kesyukuran,

beramal bersungguh-sungguh

dan graduate dari madrasah Ramadhan ini menjadi manusia yang baru, seperti bayi yang baru dilahirkan!




Ps: selamat bertabah untuk kawan-kawan HO dan MO yang bakal ber ramadhan di hospital. Especially yang tagging, besar pahala kalian InsyaAllah.

Psss: Merindui Ramadhan di Mesir seperti INI.



MHZ,
Pandan Court Condo,

2 days to Ramadhan

Tuesday, July 7, 2015

Off 20 Ramadhan 1436H








Dalam kita bersiap sedia menunggu ketibaan 10 terakhir ramadhan yang dinanti-nanti, rupa-rupanya tak semua orang berkesempatan untuk menemui tetamu istimewa ini.

“ Salam akhwat. mohon sedekahkan Al- Fatihah untuk suami Maryam Rasyadah, meninggal dunia pukul 430pm di jalan bukit bintang otw balik kerja. Arwah dibawa ke HKL utk postmortem. Maryam tadi balik kerja terus ke HKL. Siapa kerja kat HKL boleh jumpa Maryam kot.. Moga Allah tepatkan di kalangan orang soleh. Moga Allah beri kekuatan utk Maryam.

Accident motor vs kereta”

Kaget tika membaca mesej wassap yang di forwardkan.



 “Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, sejahterakanlah ia, hapuskanlah dosa-dosanya.

***

“ Sesungguhnya kami yakin dengan kata-katamu Ya Allah. Bahawa pahala puasa ini hanya dari engkau, dan Engkau yang akan membalas dengan sebaik-baiknya. Maka, kau terimalah amalan dan puasa anakku ini Ya Allah, yang pergi dalam keadaan berpuasa”

Doa ayah arwah seusai solat jenazah tadi cukup menyentuh hati.

Allahu. Tenangnya kematian beliau. Bersahur di dunia, tetapi berbuka puasa di syurga.

Tersentuh. Seolah-olah Allah sedang bercakap direct kepadaku, mengingatkan kembali akan 20 hari Ramadhan yang sudah berlalu.

Adakah ia benar-benar ikhlas dilaksana atau sekadar melepaskan batuk di tangga?

T___T

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda: 
Allah ‘azza wa jalla berkata:


كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

“Seluruh amalan anak keturunan Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.”


Hadits qudsi ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari (1904) dan Muslim (1151)

Selesai menunaikan solat jenazah, kami menuju ke Tanah Perkuburan Raudhatussakinah Batu Muda untuk urusan pengebumian. Ramai kaum keluarga dan sahabat-sahabat beliau yang mengiringi jenazah.

“ Alhamdulillah, mudah aja semuanya. Sepanjang saya bertugas memandikan mayat, rasanya inilah yang paling mudah sekali. Walaupun air kecil, tetapi Alhamdulillah mudah aja urusannya. Arwah pun tersenyum.

Darah pun tak banyak yang mengalir. Dan bila saya kerahkan orang untuk membantu, cepat aja mereka datang membantu”, kata pakcik yang bertanggung jawab memandikan mayat.

Allahu!

Jelesnya dengan kematian orang-orang yang soleh ini. Meninggal pada bulan Ramadhan. Jenazah di solat dan didoakan oleh ramai orang. Cuaca yang redup dan semua urusan dimudahkan.

Beliau adalah orang yang banyak berjuang untuk ummah. Maka tidak hairanlah jika kematiannya juga ditangisi oleh ramai orang.

Subhanallah. Semoga Allah mengurniakan kematian sebegini juga kepada kita semua.

Teringat kata-kata daripada murabbiah saya,

Our existence must be matter.
Kehadiran kita (di muka bumi ini) mesti dipeduli.

Bermakna, kehidupan kita di muka bumi ini perlu memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.


Tersebut sebuah kisah di mana, suatu hari, seorang jenazah lalu di hadapan 
Rasulullah, lalu beliau bersabda:

“ Sama ada jenazah ini rehat atau orang sekeliling rehat dengan kematiannya”

Ini bermakna, kematian bagi seorang hamba yang beriman umpama satu kerehatan daripada kepenatan dunia dan dia sedang menuju syurgaNya.

Tetapi sebaliknya kepada orang yang tidak beriman. Kematiannya ibarat satu kerehatan ( kegembiraan) buat orang di sekelilingnya yang sudah tidak tahan dengan karenahnya.

(T___T)

So, kita yang masih hidup ini harus membuat pilihan untuk memilih seni kematian kita.

***

“ Akak, ada tak tips untuk istiqamah dalam beribadah?”

Beberapa hari lepas mutarabi saya bertanya soalan ini. Jujurnya ketika itu saya tak mempunyai jawapan untuk soalan beliau. Tapi bagi menjawab persoalan itu, saya ferwardkan juga beberapa tips persiapan menjelang 10 akhir Ramadhan oleh Sheikh Tawfique Chowdhury.


Tetapi, saat ini saya sudah mempunyai jawapan untuk soalan beliau.

Ya, untuk me maintain kan momentum untuk beribadah ialah dengan ikhlas dan mengingati mati.

Kerana kita tak tahu bilakah kita akan pergi menemui Allah, maka ini akan menjadi daya tolak untuk kita sentiasa beribadah semaksimum mungkin.
Boleh jadi nyawa kita diambil di rumah, di pejabat, di atas motor, di dalam kereta, di tepi jalan, di pasar raya dan sebagainya.

Dan cara untuk mengingati mati ialah dengan menziarahi kubur, atau menziarahi orang yang sakit di hospital.

Talkin dan tahlil yang dibacakan ketika majlis pengebumian itu,sebenarnya bukanlah peringatan untuk si mati. Sebaliknya peringatan itu khas ditujukan kepada kita yang masih hidup.

Supaya amal-amal kita di muka bumi ini dapat menjawab persoalan yang bakal di tanya di dalam kelak.

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka
Dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul
Janganlah berasa gementar, janganlah cuak
Dan janganlah bergopoh-gapah
Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
Malahan solah lima waktu,
Puasa di bulan Ramadhan,
Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku,
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati
Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.

Wallahua3lam.


Semoga kita dapat memanfaatkan 10 hari terakhir Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Dan semoga Allah memilih kita untuk mendapat Lailatul Qadr.


اللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku.”

Ketika Talkin dibacakan


Al fatihah buat Arwah Khairul Anuar Unig Kutty


***

“ Selama ni kita selalu pergi ke walimah-walimah, happy-happy. Sekarang Allah bagi kelainan. Allah panggil kita ke majlis kematian. Baru insaf sikit” ucap kak Mar di dalam kereta ketika on the way untuk pulang ke rumah.

Ye, aku bersetuju dengan statement tu! Kadang-kadang, hati ni kena ketuk-ketuk sikit, baru insaf.


Semoga kita dikurniakan kematian yang mampu menghidupkan hati-hati orang lain. Ameen Ya Rab!


p/s: Mohon maaf jika point berselerakan. Sebab menulis dalam keadaan perasaan masih bercampur baur.



Take care people,

MHZ,
Sri Saujana Gombak
20 Ramadhan 1436H
7 July 2015
2.00pm

Monday, June 29, 2015

[MAJALAH JOM ISU 25]: Tika dunia masih memanggilmu..





“ Cuba lihat di sana, di atas bukit Uhud itulah tentera berkuda Islam bertahan. Mereka berperang dengan sangat gagah. Bertempur sekuat hati, seolah-olah syurga itu sudah berada di depan mata. Alhamdulillah, kemenangan pertama berpihak kepada umat Islam ketika itu. Kaum musyrikin bertempiaran lari dan meninggalkan sahaja harta-harta mereka.

Tetapi ada sebilangan kaum muslimin yang matanya dikaburi harta. Mereka berfikir bahawa arahan Rasulullah untuk tidak berganjak dari bukit itu telah tamat dengan kemenangan tadi. Tanpa menghiraukan larangan Rasulullah, mereka meluru ke arah harta yang ditinggalkan oleh musuh. Melihat kepada situasi itu, Khalid Al-Walid yang ketika ini mengepalai tentera berkuda musyrikin berpatah kembali dan menyerang hendap mereka yang sedang leka ketika itu.

Inilah pengajaran besar yang perlu kita pelajari dari peristiwa Perang Uhud ini,” jelas pemandu pelancongku menerangkan serba ringkas sebuah peristiwa dari lipatan sejarah yang pernah berlaku di tempat aku berdiri sekarang.

Alhamdulilah, Allah murahkan rezekiku untuk dapat menjadi tetamu Allah, dapat menyertai umrah pada musim panas kali ini. Sudah lama aku mengimpikan untuk menjejakkan kami di bumi ini. Lebih –lebih lagi selepas menyertai gerabak dakwah dan tarbiah ini, semangatku meluap-luap untuk melihat sendiri bumi tarbiah yang banyak mengajar erti aqidah sebenar di dada kaum muhajirin Mekah.

Mari kita hayati sirah perjuangan Nabi. Boleh jadi debu yang berterbangan di sekeliling kita ini dan melekap di pipi dan baju kita ini adalah debu yang sama menjadi saksi peperangan Uhud suatu ketika dulu,” sambungnya lagi.

Argh. Tika ini perasaanku bercampur baur. Mataku ditala ke hadapan. Terbentang gah dihadapanku barisan bukit Uhud yang akan menjadi bukit di syurga kelak.

“ Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah. Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi. Sehingga menerbangkan debu. Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh” (Al-Aadiyat 1-5)

Ayat-ayat ini bermain di fikiranku. Terbayang di fikiranku pertempuran yang sengit itu. Ketangkasan kuda perang yang berlari laju sehingga menerbangkan debu-debu ke langit, dan gambaran betapa terkejutnya musuh ketika diserang hendap secara tiba-tiba( di subuh hari).

Hebatnya Allah yang menggambarkan setiap inci dengan jelas di dalam surah ini, malah bersumpah dengan kuda perang  untuk menarik minat arab quraisyh supaya mendengarkan apa berita penting yang ingin dibawa oleh Rasulullah saw.

Tetapi manusia tetap tamak dan tidak bersyukur

“ Manusia akan tua dan beruban. Namun bersamanya dua hal yang tetap muda. Angan-angan dan cinta dunia”

Ada dua pemburu  yang tidak akan kenyang. Pemburu ilmu dan pemburu harta”

Gulp.

Benarlah sabda Rasulullah yang Maha Agung.  Allah Taala selaku Pencipta manusia sangat mengetahui fitrah manusia yang cintakan harta berlebihan sehingga  sanggup ingkar kepada tuhannya.

Manusia fitrahnya akan terus mengejar dunia dan harta sampai satu saat dia akan melupakan tanggungjawab sebenarnya di muka bumi ini. Mari kita ambil pelajaran dari kisah Perang Uhud di atas, hanya kerana tamakkan harta rampasan perang, akhirnya ia terpaksa mengorbankan sejumlah nyawa yang syahid, termasuk sahabat-sahabat yang menjadi benteng kepada Rasulullah selama ini, Hamzah dan Musab bin Umair.

Manusia apabila matanya dikaburi dengan harta, dia akan melupakan halal dan haram. Semua dilanggarnya hanya untuk menghalalkan niatnya.

Tidak salah kita menjadi pemburu ilmu, tetapi kadang-kala bila bertembungnya antara panggilan Allah dan panggilan belajar, panggilan mana satukah yang kita sahuti?

Ramai antara pelajar yang sanggup stay up (berjaga malam) semata-mata untuk belajar, lebih-lebih lagi apabila peperiksaan sudah hampir, atau apabila assignment sebeban perlu dihantar segera. Tetapi berapa ramai pelajar yang sanggup meluangkan masa malamnya untuk bermunajat kerana Allah?

Atau ada juga kes yang sanggup bangun awal untuk study dan qiamullail, tetapi tertidur semula sehingga subuh gajah menyambutnya apabila dia membuka mata. Haish. Ini sudah terbalik maa.

KepadaNya kelak kita akan dikembalikan

Manusia, atau dalam bahasa arabnya “ Al-Insan” yang berasal daripada perkataan nasi yang bermakna lupa. Manusia sentiasa akan melupakan asal kejadiannya, lebih-lebih lagi tika kita terlupa bahawa dunia ini hanya sementara dan kelak kita akan dikembalikan kepadaNya.

“ Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan. Dan apa yang tersimpan di dada dibongkarkan? Sungguh, Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka” (Al-Aadiyat: 9-11)

Apa yang terbuku di dalam hati kelak akan dibongkarkan. Tiada apa-apa yang boleh dirahsiakan. Malah anggota badan kita, tangan, kaki, jari, telinga kita akan menjadi saksi atas segala perbuatan kita di muka bumi ini.

Sayang seribu kali sayang, jika ketika saat itu, hanya amal buruk kita sahaja yang berbicara. Kemana semua amal baik kita sepanjang kita hidup di muka bumi ini?

Mari kita pecutkan kuda kita untuk memerangi nafsu kita. Kerana nafsu ini memang sifatnya tidak pernah puas dengan apa yang ada. Belajar mensyukuri apa yang telah diberikan Allah kepada kita. 

 Tidak diketahui bila datangnya Hari Kiamat, kerana itu hendaklah kita mempercayai kebenarannya dan selalu bersiap-siaga agar tidak dikejutkan dengan kehadirannnya secara mendadak.

Kadang kala, apabila ayat-ayat Al-quran yang menceritakan tentang perihal ahli neraka dan gambarannya, kita selalu berasa selamat dan tidak terancam. Seolah-olah semua cerita itu tidak ditujukan kepada kita. Kita merasakan bahawa sesudah sahaja kita mengucap dua kalimah syahadah, syurga itu sudah menjadi jaminan kita dan kita sudah kebal dari api nerakanya!

T_____T

Bangkitkan wahai anak adam, Bertaubatlah, Allah sentiasa ternanti-nanti rintihanmu

Sebahagian orang memahami taubat hanya bagi pelaku dosa-dosa besar. Maka mereka menjadi culas dan malas bertaubat. 
“ kenapa harus bertaubat sedangkan saya tidak melakukan dosa-dosa besar?”

Sebenarnya, taubat merupakan tugas yang multi tingkatan. Ia merupakan kewajipan yang dilakukan pada semua tingkat keimanan. Ahli maksiat perlu bertaubat. Pelaku dosa besar harus bertaubat. Pelaku dosa kecil harus bertaubat. Bahkan, orang yang bertaubat juga perlu sentiasa memperbaharui taubatnya.

Boleh jadi kehidupan seharian kita kadang-kala menyimpang  dari niat yang asal. Maka lazimi istighfar dan perbaharui niat kita. Lebih-lebih lagi ketika kita sibuk menyiapkan kertas kerja yang perlu dihantar,  semasa menyiapkan bahan pengajaran untuk diajar di kuliah esok harinya, dan dalam  kita sibuk mengulangkaji pelajaran.

“ Semua yang menyibukkanmu, baik harta mahupun anakmu, sehingga kamu melupakan Allah, semua itu adalah bencana bagimu” (Abdurrahman Ad Darani)

Ayuh, mari kita perbaharui taubat kita. Boleh jadi selama ini sudah berpuluh kali kita sujud di tanah, mengangkatnya tetapi sebenarnya hati kita tidak sujud sama sekali. Tiada satu sujud pun yang sebenarnya. Tanyakan kepada hati, bilakah kali terakhir kita menangis keranaNya? Menangis kerana kebesaranNya? Menangis kerana takut kepadaNya? Kita memang memerlukan taubat atas kelalaian kita..



1 Feb 2014
Musyirah Hanan Zulkarnain
Pelajar perubatan,

Universiti Al-Azhar, Mesir

Wednesday, July 2, 2014

Powerbank Ramadhan




Alhamdulillah atas semua nikmat Allah yang tak terkira ini. Dan tahniah kepada semua yang berjaya dipilih Allah menjadi tetamu Ramadhan.

Moga Ramadhan yang dipenuhi dengan keberkatan, rahmat dan keampunan ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:

"Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan , menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)     

Subhanallah!! Beruntunglah kita semua kerana dipilih untuk memasuki madrasah Ramadhan ini. Semoga kita dapat graduate dengan 1st class honour insyaAllah!



Ramadhan, bulan bekalan

Saya pasti ramai di antara kita mempunyai smartphone. Smartphone di dunia akhir zaman ni memang banyak kegunaan dan keperluannya. Tetapi  penggunaan phone ini kebiasaannya akan menggunakan bateri yang banyak. Lebih-lebih lagi jika selalu membuka Whats’up, FB, Twitter, Google Chrome, Youtube dan sebagainya.

Maka, pengguna smartphone terpaksa membawa charger ke mana-mana sahaja di dalam bag. Apabila bateri dah merah, boleh la dicucuk charger di mana-mana plak yang menjadi mangsa.

Saya biasa menyaksikan situasi ini.

Dan kerana adanya masalah-masalah seperti ini, maka wujudlah powerbank. A portable charger. Mudah penggunaannya, dengan hanya mengcharge selama 4 jam. Anda mampu menggunakannya untuk mengcharge handphone anda 4-5 kali!

Suatu penciptaan yang bijak!

Dan sebegini juga sebenarnya Ramadhan ini. Bulan Ramadhan ini ibarat powerbank kepada iman dan amal kita. Dengan hanya mengcharge-nya di dalam sebulan, sepatutnya ia mampu menjadi bekalan yang berterusan sepanjang 11 bulan yang lainnya! Subhanallah!

Namun, teori selalunya tak seindah praktikal. Saya pasti ramai yang tidak bersetuju dengan statement saya di atas. Saya tahu~

Bila difikirkan semula, kenapa dah beberapa ramadhan yang kita lalui, ia tidak mampu menjadi bekalan yang berterusan sehingga 11 bulan? Biasanya 2-3 bulan sahaja yang mampu bertahan. Yang selebihnya kita tetap akan tercunggap-cunggap mencari kekuatan.

Entah kenapa?

Lebih teruk lagi kesan Ramadhan itu seolah-olah tidak tertempias langsung kepada kita. Amal ibadah/ mutabaah amal masih lompong-lompong, maksiat masih dibuat, dosa-dosa kecil masih terkumpul, perkara-perkara lagha masih susah ditinggalkan, tilawah Al-quran pun masih struggle untuk dilazimi.

Tetapi, bukankah sepatutnya puasa menghasilkan Taqwa?

(T___T)

Bila di check semula, saya rasa teori di atas tadi releven sebenarnya, tetapi ianya hanya untuk powerbank yang berjenama dan berkualiti tinggi sahaja. Powerbank murah versi made in China kebiasaanya tak mampu memberi tenaga yang berpanjangan.

So, adakah puasa kita ni versi made in China sahaja kerana ia tak mampu menjadi bekalan kepada 11 bulan kita?


T___T  * Kena hempap batu*


this is Power bank apple, not food.



Di manakah silapnya? Mari kita muhasabah sejenak.



1.  Boleh jadi kita menjadi hamba Ramadhani, dan bukannya hamba Rabbani.

Apabila ramadhan menjelang, berganda-ganda amalan yang kita laksanakan. Namun bila syawal menjelang, tiba-tiba amalan-amalan tersebut berkurangan. Mujahadahnya hanya Allah sahaja yang tahu. Entah kenapa? Mungkin di bulan Ramadhan suasananya sangat membantu. Tengok kiri-kanan, rata-rata manusia menjadi baik. Maka, mudahlah kita beribadah. Motivasi kuat.

Tapi di bulan biasa, suasana di sekeliling membantutkan semangat. Hendak membaca Al-quran di dalam bas, orang akan kata kita poyo. Hendak bersedekah kepada fakir miskin di tepi jalan, orang kata itu sindiket. Alih-alih, Al-quran yang dikelek terletak di dalam beg sahaja. Tangan yang nak meberi pun tak jadi menghulur.

Tapi, kalau kita ikhlas beribadah kepada Allah (Rabb), kenapa kita effected by orang sekeliling?

Adakah kita hamba Ramadhani, atau hamba Rabbani?  T___T


2. Ramadhan kita hanyalah biasa-biasa

Biasa-biasa macam mana pulak tu kak? Kami mampu khatam Al-quran sekali dalam Ramadhan ni, bangun qiamullail setiap hari, sedekah setiap hari, solat terawih setiap hari berjemaah di masjid akak kata biasa-biasa?

Kami pun dah tak mengumpat bergossip tau dalam bulan Ramadhan ni. Kami dah mujahadah besar macam ni akak kata biasa-biasa?

Sabar dik, sabar.

Bukan ke adik kata adik ni daie?

Bukankah seorang daie itu, memang mutabaah amalnya seperti itu pada hari-hari biasa?


a- Bukankah seorang daie itu memang perlu bangun qiam setiap hari? Beban dakwah yang dipikul ini sangat berat. Dan semua kekuatan datangnya dari Allah. Dan bukankah memang sepatutnya hubungan kita dengan Allah itu sentiasa berterusan?

Dan sepatutnya, “kemuliaan seseorang hamba itu terletak pada qiamullailnya”

b- Adik kan memang dah join ODOJ. One day One Juzuk di hari-hari biasa. Jadinya membaca 1 juzuk setiap hari dan mampu khatam dalam masa sebulan itu bukankah memang telah dilazimi? Kenapa tak digandakan 2x khatam dalam bulan Ramadhan ini?

c-  Bersedekah setiap hari itu memang anjuran dan mutabaah amal kita dik.  Hubungan dengan Allah akan menjadi semakin baik jika kita menjaga hubungan sesama manusia.

d- Errr.. maaf. Tapi bukan sepatutnya memang kita tak boleh mengumpat sesama manusia kan? Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda,

“ Berkata baiklah atau diam”

Jadinya, kenapa pula seolah-olah bulan Ramadhan menjadikan kita mampu menahan lidah kita, tetapi di bulan-bulan biasa, kita bebas bercakap yang tidak baik?

Jadi apa lebihnya Ramadhan ini pada adik?  (T___T)


Saya tahu kebanyakan kita sudah sehabis baik pulun untuk beribadah pada bulan Ramadhan ini. Lebih-lebih lagi yang menjalaninya bersama keluarga, rakan-rakan lama dan sebagainya. 

Saya faham bukan mudah untuk menjalaninya, saya pun ketika Ramadhan di Malaysia, sedang asyik membaca Al-quran, ada-ada sahaja kerja-kerja bibik yang menanti, sudahnya saya hanya mampu mendengar bacaan Al-quran sambil-sambil melipat baju yang bertimbun-timbun.

Saya tahu. Saya sendiri pernah merasainya. Namun semua itu bukan alasan untuk kita meremehkan makna ibadah itu sendiri. Jika mutabaah amal kita kebiasaannya memang begitu, mengapa tidak diambil peluang ini untuk menambah sesuatu penambahbaikan di dalam bulan Ramadhan ini?


RAMADHAN LUAR BIASA


Sebelum pergi lebih jauh, mari saya terangkan balik apa itu ibadah.
Ibadah yang sebenar adalah ubudiah. Menyembah Allah.

Al-Imam Ibnu Katsir rohimahulloh berkata : 

“Ibadah kepada Allah adalah mentaati-Nya, dengan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi/meninggalkan larangan-larangan-Nya.”

Ini bermakna, apa-apa pekerjaan sahaja boleh dilaksanakan dengan syarat ianya diniatkan kerana Allah, selagi mana tidak bertentangan dengan suruhan Allah. Cakupan ibadah itu luas.


Menuntut ilmu itu ibadah.
Bekerja di Ofis itu ibadah.
Membuat kerja bibik itu juga ibadah.
Drive menghantar adik ke sekolah itu pun ibadah.

Ibadah bukan setakat berada di atas tikar sembahyang, tetapi makna ibadah itu sendiri sangat luas. Sila buang kefahaman yang salah itu.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata,

 “Ibadah merupakan sebuah istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai dan diridhai Allah, berupa ucapan dan perbuatan, yang batin maupun lahir. Ini artinya sholat, zakat, puasa, haji, jujur dalam berbicara, menunaikan amanat, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang yang mungkar, berjihad memerangi orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil, maupun kepemilikan dari kalangan manusia (budak) atau binatang piaraan, berdoa, berdzikir, membaca al-Qur’an, dan lain sebagainya itu semua adalah ibadah. Demikian juga kecintaan kepada Allah dan rasul-Nya, rasa takut kepada Allah, inabah kepada-Nya, mengikhlaskan agama untuk-Nya, bersabar menghadapi ketetapan-Nya, mensyukuri nikmat-Nya, ridha dengan takdir-Nya, bertawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat-Nya, takut kepada azab-Nya, dan semisalnya [itu semua juga] termasuk ibadah kepada Allah.” (lihatal-’Ubudiyah, hal. 6 cet. Maktabah al-Balagh)

Syaikh Abdul Aziz ar-Rajihi hafizhahullah menerangkan,

 “Dengan ungkapan lain, dapat dikatakan bahwa ibadah adalah melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Tercakup di dalamnya menunaikan kewajiban-kewajiban dan menjauhkan diri dari berbagai hal yang diharamkan. Melakukan hal-hal yang wajib dan meninggalkan hal-hal yang diharamkan; yaitu dengan melakukan kewajiban-kewajiban yang Allah wajibkan baik berupa ucapan maupun perbuatan, yang bersifat batin maupun lahir. Meninggalkan hal-hal yang diharamkan, baik yang berupa ucapan maupun perbuatan, yang batin maupun yang lahir.” (lihat Syarh al-’Ubudiyah, hal. 5)

Dengan erti kata lain, Ibadah itu adalah apa-apa sahaja perbuatan, perkataan yang membuatkan Allah SWT redha kepada kita.

Saya lihat, ramai orang termasuk pada daie merancang pesta ibadah masing-masing pada bulan Ramadhan. Kebanyakkannya mahu pulun 90% Ramadhan ini dengan ibadah. Saya tidak menafikan ianya sangat bagus.

Tetapi, mengikut sunnah, adakah itu sahaja yang Rasulullah dan para sahabat buat?

Ya, memang Rasulullah SAW pulun beribadah pada bulan Ramadhan, tetapi lupakan kalian bahawa Rasulullah juga turut berperang pada bulan Ramadhan?

Perang Badar menjadi saksi kaum muslimin berjihad dalam bulan Ramadhan!

Maka, ibadah yang dilaksanakan bukan setakat ibadah yang ‘basah’ di dalam masjid sahaja, tetapi juga melibatkan jihad.


Bekalan yang Syumul

Manusia dikurniakan 3 kompenen utama:

Badan (jasmani), hati ( rohani) dan akal (fikri).

Dan bagi setiap satu ada makanan-makanan masing-masing.

Manusia berasal daripada tanah dan makanan jasmani pun adalah apa-apa daripada tanah (nasi, tepung, sayur-sayuran etc)

Akal makanannya ilmu pengetahuan.

Dan rohani berasal dari Allah dan makanannya apa-apa yang mendekatkan kepada Allah. (zikir, solat, etc)

Maka, bekalan yang dimaksudkan di dalam teori di atas bukan setakat bekalan rohani sahaja. Tetapi ianya haruslah meliputi akal dan jasmani.

Dan, untuk menjadi powerbank yang berjenama dan berkualiti tinggi, bahan-bahan yang digunakan juga haruslah berkualiti tinggi.


Maka, mari kita muhasabah balik target Ramadhan kita. Mana lebihnya Ramadhan ini dari bulan-bulan biasa kita?


1- Tingkatkan bekalan akal = Menuntut ilmu, menambah thaqafah- membaca buku-buku fikrah, dakwah, agama dll


Bayangkan jika kita menghabiskan 90% masa kita dengan ‘ibadah’ semata, apakah kesannya kepada diri kita?

Tahukah anda orang yang berilmu lebih tinggi darjatnya di sisi Allah berbanding abid (ahli ibadah)?

Tahukan anda,syaitan lebih takutkan seorang yang berilmu daripada 1000 orang abid yang tidak berilmu.?

Mari kita penuhi diri kita dengan ilmu pengetahuan, ilmu agama, fikrah,dakwah dan ulum syarak supaya kita lebih memahami islam seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah,

Ini yang lebih utama! Dan kesannya lebih ‘long lasting’ dan menambah kefahaman kita terhadap agama. Malah, kesannya bukan kepada diri kita sahaja, tetapi kepada orang di sekeliling kita yang turut mendapat tempiasnya apabila kita mengajarkan mereka ilmu-ilmu tersebut!


"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Al-Mujaadalah 58:11)

Rasulullah SAW bersabda:

“ Kelebihan seorang alim ( ilmuwan ) terhadap ‘abid ( ahli ibadah ) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang. (HR.Abu Dawud )

“ Seorang yang alim ( berilmu/berpengetahuan/cerdas/ pintar/arief , selalu mendapat rahmat hidayatullah ) , lebih sulit digoda oleh syaitan dari pada seribu orang ahli ibadat  (tetapi tidak berilmu ) “ ( HR. Ath Turmudzi )

Bak kata pepatah melayu, Ilmu kunci pengetahuan.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya dan rakan-rakan terpaksa menempuh ‘persekolahan’ dalam bulan Ramadhan. Masih terbayang kepenatan pengalaman tahun lepas. Berulang-alik ke hospital di musim panas yang terik, mengambil sheet pesakit dan mendengar lecture berjam-jam pada ramadhan cukup menguji tahap kesabaran.

Dalam kepenatan ini, seorang ukhti menceritakan apa yang beliau sendiri alami.
Ketika itu ukhti ini sedang mengambil kelas bahasa Arab di Mesir, dalam bulan Ramadhan beberapa tahun lepas.

Bagi sesiapa yang pernah mengambil kelas arab, mereka akan tahu betapa banyaknya homework yang perlu diselesaikan setiap hari.

Siangnya dia ke kelas arab manakala malam harinya dia ke masjid menunaikan solat terawih, beriktikaf dll.

Hinggakan dia tidak sempat untuk menyiapkan homework arabnya, maka ustazahnya menegurnya dengan teguran yang lembut tetapi menusuk ini

“ Jangan salah faham antara perkara yang wajib dan sunnat. Menuntut ilmu adalah wajib manakala solat terwaih adalah sunnat. Jangan disebabkan perkara-perkara sunnat, awak meninggalkan yang wajib!”

T_____T

Selepas mendengar cerita ukhti ni, terus saya menguatkan kaki melangkah ke hospital setiap hari!


Bagi pada daie, jika selama ini anda cukup buzy study sehingga tak cukup masa untuk membaca buku-buku fikrah, nah sekarang ini waktu cuti haruslah dimanfaatkan sebaiknya! Senaraikan buku-buku fikrah yang ada perlu baca dan targetkan untuk menghabiskannya sebanyak yang mungkin.

Berkat bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini, insyaAllah ilmu-ilmu yang dibaca akan lebih difahami, diberkati dan dimudahkan untuk beramal, insyaAllah!

Bukankan membaca dan tuntut ilmu juga merupakan satu ibadah?


2-  Tingkatkan bekal rohani: Perbaiki mutu ibadahmu

Huzaifah pernah berkata,

“ Jauhilah oleh kalian kekhusyukan munafik”. Ditanyakan kepadanya, “ Apa yang dimaksudkan dengan kekhusyukan munafik?” Dia menjawab, “ Engkau melihat tubuhnya khusyuk, padahal hatinya tidak”


T____T *hangus*


Dunia akhir zaman ini menunjukkan bahawa realitinya susah untuk mendapat solat yang khusyuk. Hudzaifah pernah menggambarkan keadaan ini,


 “ Hal pertama yang akan hilang dari agama kalian adalah khusyuk. Dan yang terakhir yang akan hilang dari agama kalian adalah solat. Betapa banyak orang yang solat namun tiada kebaikan padanya. Dan hampir sahaja engkau memasuki masjid dan tidak mendapati orang yang khusyuk di antara mereka” ( Madarajus Salikhin)


TT____TT * double hangus*

Saban hari, kita menunaikan ibadah seperti yang difardhukan. Tetapi, adakah setiap ibadah itu memberikan kesan dan kebaikan kepada kita?

Mari kita muhasabah setiap inci solat, puasa, tilawah Al-quran, zikir-zikir harian kita. Adakah kita buat kerana Allah atau kerana apa?

Berapa ramai yang solat, tetapi dia keluar dari solatnya seperti mana dia masuk ke dalam solatnya. Bermakna, solatnya itu tidak menggugurkan sedikit pun dosa-dosanya, dan solat tidak menjadi kerehatan dan ketenangan kepadanya.

Sedangkan Allah menjanjikan bahawa dosa-dosa kecil kita akan dihapuskan dengan solat yang khusyuk.


3-Tingkatkan bekal jasmani: Banyakkan beramal dan berdakwah

Ada di kalangan kita yang lupa, bahawa orang yang membuat dakwah ganjarannya berkali-kali ganda lebih banyak dari beribadah. Jika ibadah memberi impak kepada diri kita, maka dakwah pula memberi impak bukan sahaja pada diri kita, bahkan kepada orang lain.

Apalah gunanya andai ramadhan yang mulia ini hanya membuahkan hasil yang baik untuk diri kita seorang sahaja?


  “Wahai Abu Dzar , kamu pergi mengajarkan ayat dari kitabullah lebih baik bagi mu dari pada solat ( sunnah ) seratus rakaat , dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak , itu lebih baik dari pada solat seribu (1000) rakaat.“ (HR. Ibnu Majah)


Selitkan juga doa untuk saudara-saudara kita di Gaza, Mesir, Syria dll. Dalam kita menghayati Ramadhan ini, masih ada manusia-manusia yang mencemari kemuliaan bulan ini.

Gaza under attack semalam!

Kemudian kita masih boleh lena di dalam ibadah kita sahaja? Kerja dakwah tidak akan habis selagi mana kalimah Allah tidak tertegak di muka bumi ini~


So, mari rancang sebaiknya bulan Ramadhan ini. Baru 3 hari sahaja berlalu, masih ada 27 hari berbaki untuk kita memaksimumkan sebaiknya~

Semoga Allah memberkati setiap masa-masa kita dan mengganjari keberkatan di setiap umur dan amal kita. Ameen.

Mari jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan Luar Biasa!


p/s: Ampun maaf dipinta, moga pesanan-pesanan ini menjadi peringatan utk yang menulis dan kepada pembaca, para duat sekalian.




MHZ,
4th ramadhan 1435,
Beyt SQ, kaherah
12.11 am, 2 July 2014