Pages

Friday, November 21, 2014

From Egypt to Spain with Love 1.0 ~


Andalusia..

Bumi Muhasabah~
"Menangislah kamu seperti perempuan, kerana negaramu telah hilang...
kamu dahulu tidak menjaganya seperti seorang lelaki"




Peluang bermusafir di Andalusia ini saya berdoa kepada Allah agar dapat belajar sesuatu daripada pengembaraan ini, membuka hati dan minda agar lebih memahami tujuan kita diciptakan di muka bumi Allah ini.
Ada pelbagai perkara yang kita boleh belajar daripada buku, namun lebih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada alam, dengan berinteraksi sesama manusia dan melihat kesan-kesan tinggalan pada alam.
Bagi saya, alam adalah antara guru yang terbaik.
Maka benarlah firman Allah:
“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.”
 (Surah Al-Hajj, ayat 46)

Perjalanan ke Andalusia yang terkenal dengan peninggalan dan sejarah Islamnya yang sangat gah ini, dimulai dari Madrid, kemudian dilanjutkan ke Toledo- Cordoba- Granada- Barcelona- Madrid dan pulang ke Cairo semula.

Alhamdulillah, tanpa sebarang masalah kami berjaya mendarat di Lapangan Terbang Madrid pada pukul 4.45 pm waktu tempatan. Kami seramai 29 orang (27 orang rombongan umrah yang bertolak daripada KLIA, saya seorang yang bertolak dari Cairo Airport, dan adik lelaki saya yang bertolak dari Domodedovo Airport, Moscow).

Di sana kami disambut oleh Ahmad, pemandu pelancong kami, anak kelahiran Granada yang beragama islam. Alhamdulillah kerana Allah memudahkan semua urusan kami di airport.

Seterusnya kami dijamu dengan makanan tengahari di Restoran Omar, yang terletak bersebelahan dengan Stadium Real Madrid, kebetulan pagi itu pasukan bola Real Madrid baru sahaja memenangi perlawanan bola, maka ketika itu Bandar Madrid sangat meriah dengan sorakan-sorakan rakyat yang menyokongnya. 

Stadium Real Madrid yang dipenuhi sambutan

Banggunan kerajaan turut mengibarkan bendera pasukan bola Real Madrid atas kemenangan mereka

Lunch bersama

Taaruf sambil lunch

Selepas lunch, kami terus bertolak ke Toledo dengan bas. Jarak Toledo-Madrid sebenarnya hanya sekitar 70 km. Namun kerana jalan yang dipilih bukan jalan highway, maka waktu yang diperlukan hampir 1 jam lebih untuk sampai ke tujuan. Namun kami berpuas hati kerana kami disajikan dengan pemandangan yang cantik di sepanjang perjalanan.

Dan Alhamdulillah, menjelang pukul 7.10pm kami memasuki kota benteng yang terletak diatas bukit ini. Ketika itu kami kalut untuk menunaikan solat. Kerana kebiasaan di Mesir mahupun Malaysia,  sekitar pukul 7 itu menunjukkan akan masuk waktu maghrib tidak lama lagi, sedangkan ketika itu kami satu rombongan masih lagi tidak menunaikan solat jamak zohor-asar.

Namun, selepas check in di Hotel Mayoral, Toledo, saya memeriksa waktu solat di Spain, sangat terkejut kerana ketika itu (pukul 7.30pm), masih lagi di dalam waktu asar.


Rupa-rupanya kerana siang yang panjang di Spain ini, jarak waktu solat zohor dan asar sangat lama. Azan subuh pada pukul 4.50am. Azan zohor pada pukul 2.15pm. Azan asar pada pukul 6.10pm. Azan maghrib pada pukul 9.30pm dan azan isya pada pukul 11.25pm.
Boleh bayangkan betapa sekejapnya waktu tidur malam yang sangat pendek ketika itu?
***
Pembukaan Andalus

Sejarah Islam di bumi Sepanyol dan Toledo
Pada tahun 711M, pasukan Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad mulakan penaklukan Andalusia. Dengan bantuan Panglima Julian, Gabenor Ceuta, beliau membantu pasukan islam seramai 12 000 orang menyeberangi laut dan masuk ke bumi Iberia ( yang turut dikenali sebagai Andalus- ia merangkap Sepanyol, Portugal dan Perancis Selatan) melalui Bukit Jibraltar. Jibraltar berasal dari kata Jabal Tariq atau Gunung Tariq.

Dan dalam suasana itu, Tariq cuba menyemarakkan semangat jihad para pejuang. Tariq mengucapkan pidatonya yang terkenal:

 “Saudara-saudara sekalian! Ke manakah kamu hendak melarikan diri? Lautan di belakang kamu dan musuh di hadapan kamu. Demi Allah, kamu haruslah tabah dan sabar.”
Selepas berjaya menumbangkan Raja Roderick, Tariq bin Ziyad dan pasukannya berpecah untuk menakluki Andalus dan menyebarkan Islam di serata bumi subur itu. Masing-masing bergerak ke Granada, Cordoba, Toledo dan Seville.
Toledo yang merupakan ibu kota Wisigoth ketika itu ditaklukkan setahun setelah itu, iaitu pada tahun 712 M. Padahal kota ini terletak jauh di tengah daratan Sepanyol. Dapat dibayangkan bagaimana cepatnya pasukan Tariq mara untuk menyebarkan Islam di bumi Andalus ini.  
Semakin hari bilangan umat Islam semakin bertambah di Toledo. Tentera-tentera Islam bukan sahaja tangkas menghayun pedang, namun turut memainkan peranan sebagai pendakwah. Masing-masing menunjukkan akhlak Islam yang mulia sehingga menambat hati penduduk tempatan untuk memeluk agama Islam.
Mereka ibarat singa di siang hari, rahib di malam hari. Bagi mereka yang memiliki kemahiran-kemahiran tambahan seperti pandai membaca dan menulis, mereka akan mengajar rakyat tempatan kemahiran-kemahiran tersebut.
Malah tentera-tentera Islam juga rajin membantu rakyat tempatan mendirikan masjid. Ia dibina bagi memudahkan rakyat tempatan yang baru memeluk agama Islam mengamalkan Islam. Masjid ketika itu menjadi pusat tumpuan. Selain menjadi pusat ibadah, ia juga berperanan untuk mengajarkan kitab-kitab, menjadi tempat berjual beli, tempat perkumpulan dan sebagainya. *Bukan seperti masjid-masjid di Malaysia sekarang*

Maka tidaklah pelik jika Toledo akhirnya menjadi tempat penterjemahan kitab-kitab Islam dan dari sana lahir ramai tokoh-tokoh Islam yang kita kenali.
Al-Khawarizmi (783M – 850M), Al-Kindi (801M – 873M), Al-Battani ( 855M – 923M), Ar-Razi/Rhazes (865M – 932M), Ibnu Haitam / Alhacen (965M – 1039M), Al-Biruni (973M – 1050M), Ibnu Sina/Avicenna (980 M – 1037M) dan Al-Jazari (1136 M -1206M) dari Persia, Ibnu Khaldun (732M – 808M) dari Tunisia, Al-Zarqali/Arzachel (1029M – 1087M) dan Ibnu Rusdy/Averroes (1126M – 1198M) dari Andalusia  adalah contoh dari sekian banyak ilmuwan Muslim yang hidup di masa kejayaan Islam.
Mereka ini bukan hanya menguasai ilmu yang sifatnya duniawi seperti ilmu perubatan, fisik, kimia, matematik, ekonomi, astronomi, seni dll namun juga ilmu agama dan ilmu akhirat. Bahkan mereka bukan sahaja pakar di dalam satu bidang, tetapi turut pakar di dalam bidang ilmu yang lain.
Ibnu Sina contohnya, selain terkenal sebagai doktor dan menulis kitab perubatan Tib fil Islam, beliau sebenarnya merupakan pakar di dalam bidang fiqh, falsafah dan matematik.
Mereka adalah para ilmuwan, sekaligus alim ulama handal yang membawa dunia Islam menuju puncak kejayaannya. Andalusia adalah salah satu bukti zaman kejayaan tersebut.
Bagi melahirkan umat Islam yang berkualiti, sifat muthaqaf (tinggi ilmu pengetahuan) ini merupakan antara contoh tauladan yang perlu dicontohi oleh generasi kita ini. Di samping hubungan yang kuat dengan Allah.
Para ilmuwan Barat saat itu mengakui bahwa peninggalan Islam di Toledo termasuk yang paling banyak, disamping Saragossa, Sevilla dan Cordoba.
Dari Andalusia inilah ilmu pengetahuan masuk ke Eropah. Kerana bahasa Arab kemudian menjadi bahasa utama kerajaan maka para pendatang kulit putih haruslah mempelajari bahasa Arab.
Ironinya setelah berhasil mengecapi dan menguasai berbagai ilmu, mereka pulang ke negerinya masing-masing, menerjemahkan buku-buku besar karya ilmuwan-ilmuwan Muslim dan mengakuinya sebagai karya sendiri!!
Lihat betapa berbezanya sikap ilmuwan barat berbanding dengan ilmuwan Muslim
Dan nampaknya kecurangan ini terus berlanjutan hingga ke saat ini, dimana banyak tinggalan-tinggalan Islam dihilangkannya/ dimanipulasi sehingga yang tinggal ketika ini hanyalah banggunan-banggunan, istana, masjid-masjid yang dibina oleh orang Islam, namun yang mendiaminya ialah orang-orang Kristian. Lebih memedihkan hati apabila mereka turut menukar masjid menjadi gereja dan menggunakannya sehingga sekarang.
Sejarah kota-kota lama yang dulu pernah berada dibawah kekuasaan Islam dihapuskan sikit demi sedikit…

(bersambung InsyaAllah..) 

p/s: InsyaAllah saya akan bertempur di medan peperiksaan terakhir untuk degree saya buat beberapa bulan ini. InsyaAllah saya akan regular menyambung travellog ini hingga ke akhirnya.
Mohon doakan Allah permudahkan saya dan memberkati masa-masa kita semua.

Syukran jazilan, take care people~ (^.^)



MHZ,
10.01pm
Beyt Sq, Kaherah

Tuesday, November 4, 2014

#MERDEKA




Assalamualaikum wbt,

Salam 11 Muharam 1436H.

Dalam tak sedar, dah 11 hari kita masuk ke Tahun Baru.
Macam mana semua? Dah pasang azam baru?

Takpe, masih tak terlambat untuk pasang azam baru.

Semoga kita akan lebih proaktif dan memanfaatkan Tahun baru ini dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah.


dan saya pun memohon maaf kepada pembaca semua, dah lama tak menulis di sini. Kekangan waktu di samping grand final exam tak lama lagi.

Tapi, jangan risau, kalau anda rindukan karya saya, bole baca di Zine Enonimus ni. *perasan*

boleh donwload secara percuma di SINI



Alhamdulillah, kehadiran Zine yang ditunggu-tunggu.

Tahniah dan syukran jazilan kepada semua yang menjayakannya.

Saya jujurnya sangat tertarik dengan moto Hud Hud Media,

Mengfikrahkan indie,
Mengindiekan Fikrah.

Moga Allah berkati setiap usaha mereka menuju redhaNya.



dan berita baik untuk semua, insyaAllah saya dalam usaha untuk meng'compile'kan penulisan Travelog Spain saya, so nantikan.  (^.^)

Doakan Allah memberikan kelapangan masa kepada saya.


Dari Abu Hurairah ,dari Rasulullah SAW bersabda. 
"Perbanyaklah (meminta) doa kebaikan daripada orang lain untukmu,kerana sesungguhnya seorang hamba,tidak mengetahui terhadap lisan siapa dikabulkan(doanya) baginya atau diberikan rahmat."
(HR. Al Khothib,pada perawi Malik)


Jadi, Mohon doakan saya lulus cemerlang final exam ni, dapat grad dengan cemerlang, dipermurahkan rezeki dan dipertemukan jodoh yang baik ya. Syukran jazilan.


p/s: Tak sabar nak MERDEKA!! (Baca: Graduasi). Doakan :)



Take care people,

Salam Maal Hijrah,
MHZ,
11 Muharam 1436H
beyt Sq, Kaherah

Thursday, October 23, 2014

Tarbiah Dzatiah





“Apabila kita perhatikan, Abu Bakar as-Siddiq, jika ditimbang imannya pasti lebih berat dari iman umat Islam secara keseluruhan. Umar al-Khattab pun, daripada seorang penentang Islam yang tegar menjadi pejuang Islam yang digeruni, bahkan oleh syaitan!
Abu Hurairah  pun banyak meriwayatkan hadis, sedangkan ramai para sahabat lain lebih dahulu masuk Islam daripadanya dan lebih lama bersama dengan Rasulullah. Agak-agak macam mana para sahabat ni mentarbiah diri mereka? Kenapa mereka mampu menjadi sehebat itu, walaupun asasnya mereka semua memiliki murabbi yang sama, Rasulullah SAW dan membaca al-Qu’ran yang sama. Dan, ketika ini, kita pun turut membaca al-Qur’an yang sama, tetapi kenapa kita tak dapat menjadi sehebat mereka?”, Safiyah melontarkan persoalan.
Tajam menghiris hati.
“ Mana boleh disamakan kita dengan mereka. Mereka hidup sezaman dengan Rasulullah SAW. Boleh lah menjadi hebat,” Liyana membalas laju. Kurang bersetuju dengan soalan Amirah tadi.
“ Erm, inillah sebabnya kita sangat perlukan tarbiah dzatiah ni. Bila kita mendisiplinkan diri sendiri untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT secara bersendirian ataupun apabila bersama-sama akhwat lain.

Kita melazimi sesuatu amal bagi meningkatkan ilmu, amal dan takwa kepada Allah S.W.T tanpa pengetahuan orang lain untuk mencari redha Allah S.W.T. Inilah tarbiah dzatiah yang saya maksudkan.

Awak pun tahu, tarbiah ni tabiatnya sentiasa meningkat. Tidak statik pada satu tempat yang sama sahaja. Dan matlamat tarbiah hanya tercapai bila kita berjaya melazimi sesuatu amal bukan kerana diwajibkan oleh para murabbi kita, tetapi kita lakukannya semata-mata kerana Allah SWT. Kalau bukan diri kita yang perlu mentarbiah diri sendiri, maka siapa lagi bukan?” Safiyah menutup perbincangan dengan sebuah persoalan.

***
Masih terngiang-ngiang perbualan dengan Safiyah, kakak naqibahnya ketika liqa usrah 2 minggu lepas. Itu liqa terakhir yang dihadirinya.
Liqa minggu lepas pula, dia mempunyai tugasan lain yang menyebabkan dia tidak dapat hadir ke liqa usrah. Rindu kepada usrahmate membuak-buak.
Biasanya usrah menjadi tempatnya meluahkan segala masalah, lebih-lebih lagi kebelakangan ini tugasan kuliah sebagai pelajar tahun akhir menuntut lebih waktunya untuk belajar.
Dia buntu. Gagal menyeimbangkan di antara belajar dan dakwah tarbiah.
Mutarabbinya juga sudah lama tidak dihubungi. Mujur mereka memahami kesibukannya.

Suasana petang yang tenang itu tidak mampu menenangkan kocak di hatinya. Dia suka duduk di bawah pokok ini, bertentangan dengan Café Mesra dan berdekatan dengan sungai di tengah-tengah kawasan asramanya.

“ Assalamulaikum Liyana,” kedengaran satu suara lembut menegurnya. Membawa Liyana kembali ke realiti. Liyana menoleh ke belakang.
“ Ouh Amirah, Waalaikumussalam. Dinner dekat sini harini? “ Liyana bertanya ramah.
“ Aah, tengah tunggu makcik tu masakkan mee goreng mamak yang saya order tadi. Silau-silau, ternampak awak tengah termenung depan laptop ni. Banyak  lagi assignment yang kena submit?”, Amirah bertanya prihatin.
“ Ouh. Hurm.. Entah la. Assignment ni tak susah pun. Kebelakangan ni saya rasa kosong. Macam lost dalam dunia dan rutin harian saya. Solat-solat pun rasa macam satu reflex. Angkat takbiratul ihram, tup tup dah bagi salam. Bila baca maathurat pun, mula-mula baca al-fatihah, sedar-sedar dah tengah tadah tangan baca doa rabithah. Saya hilang di dalam dunia saya”, keluh Liyana.
Amirah menunduk. Turut memahami perasaan Liyana. Tipulah jika dia tidak pernah merasainya.
“ Bertaqwalah. Perbaiki solat dan istighfarmu. Kuatkan tarbiah dzatiah awak, insyaAllah awak akan temui semula diri awak yang hilang tu,” Amirah menasihatinya ringkas.
“ Awak orang kedua yang mention tentang tarbiah dzatiah ni. Tapi, saya rasa saya tak mampu nak berteleku atas sejadah lama-lama, beribadah semua. Banyak lagi benda lain yang saya perlu buat’, Liyana membalas jujur.
“ Liyana, awak dah salah faham. Tarbiah dzatiah ni bukannya macam kena jadi Pak Lebai dekat masjid. Awak jadi macam diri awak yang biasa, pergi kuliah macam biasa, cuma kita manfaatkan sebaiknya 24 jam seharian supaya dapat maximumkan untuk ibadah, menambah bacaan harian dan lain-lain”, Amirah menyangkal salah faham itu. Salah faham ini selalu melanda kebanyakan orang.
“ Ouh… Tapi, boleh tak saya nak focus kepada assignment dan kuliah saya dahulu. Nanti lepas dah grad, saya focus tarbiah diri saya boleh?”, Liyana bertanya jujur.
“ Semuanya terpulang kepada awak. Tarbiah tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan tarbiah. Saya rasa awak sepatutnya lebih faham apa yang terbaik untuk diri awak. Ok lah, saya beransur dulu ye Liyana, Nampak seperti mee goreng saya dah siap tu,” Amirah meminta diri.
“ Okeh. Selamat menjamu selera. Assalamualaikum”
“ Waalaikumussalam”,
Diriwayatkan daripada Ali R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Dua hal yang paling aku cemaskan atas engkau: panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Sesungguhnya panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat, sedang mengikuti hawa nafsu itu dapat menjauhkan diri dari kebenaran.”

" Kalau bukan diri kita yang mentarbiah diri kita, then siapa lagi?"

Nak tahu apakah Tarbiah Dzatiah dgn lebih lanjut, boleh dapatkan di Kedai Iman Shoppe dgn harga rm18. Atau order online di sini  http://bit.ly/tdzatiyah , dan tunggu buku sampai di hadapan pintu~

May Allah bless people~

p/s: Harap maaf, saya sedang berada di fatrah peperiksaan. Masa terlalu sempit untuk menulis. mohon doakan saya lulus final exam ini dan dapat grad insyaAllah.

MHZ,
3.00am, beyt SQ, Kaherah

Sunday, October 5, 2014

KORBAN, sebuah perubahan





Pintu rumah sewa di tingkat 5 itu dibuka pantas. Hari ini panas dan penat. Ditambah pula perlu bergasak dengan arab tempatan di dalam bas, 30 minit daripada hospital ke rumahnya, tenaganya seperti diperah-perah. Selipar crocs dibuka dan disusun cermat. Kakinya laju melangkah masuk ke bilik. Pin tudung dibuka satu per satu dan tidak lama kemudian, tubuhnya dihempaskan ke atas katil. Baru sahaja ingin menutup mata, terdengar sayup-sayup suara Erina menegurnya.

“ Hamboi, penat sangat nampak? Ujian klinikal tadi okay? “ Shikin mula menyoal seperti polis.

“Alhamdulillah. Tawakkal  je. Tadi dapat pesakit yang tak co-operate, naya jugak. Macam-macam cara nak pujuk untuk dia bercakap. Akhirnya, masa tak cukup dan salah diagnosis,” Erina mula membebel panjang.

“ Tak apa. Doa supaya Allah lembutkan hati pemeriksa tu, “ Shikin cuba menenangkan keadaan.

“ Yelah... Kadang-kadang aku rasa yang aku ni bukannya born to be a doctor lah. Nak ambil history pesakit pun terkial-kial. Apatah lagi nak dengar stethoscope,  jauh panggang dari api, “ punat bebelan Erina masih terpasang. Panas di hatinya masih bersisa. Shikin hanya membatu. Lagi dilayan lagi panjang pula bebelannya kelak.

“Ouh, by the way, tak lama lagi cuti Eid Adha kan? Aku rancang nak beraya di Mansurah. Mimy, kawan sekolah aku ajak beraya di sana. Nak ikut? Jom release stress dekat kampung!,” suara Erina memecahkan sepi diantara mereka.

 “ Oh, menarik juga. Cuti mula lusa InsyaAllah. Boleh la kita merasa angin kampung sekejap”, Shikin menyatakan persetujuannya.

“ Yeay, syukran. Nanti aku confirmkn semula dengan Mimy. Aku rehat dulu ye, petang nanti ada tusyen pula,” Erina menutup bicara mereka.


*****
 “Aku suka suasana Raya Eidul Adha dekat sini, di kiri kanan banyak pokok. Penuh oksigen. Kambing-kambing pun merata-merata. Seriously, aku rindukan suasana kampung macam ni. Dekat kaherah tu, bunyi hon kereta dah macam music 24 jam. Serabut aku! ”, keluh Erina kepada Mimy.

Mimy setia melayan karenah mereka berdua. Pagi tadi selepas menunaikan solat sunat eid adha di masjid berdekatan, Mimy membawa mereka ke padang untuk acara penyembelihan. Tengahari pula, mereka singgah di kedai ‘asir bagi membasahkan tekak. Jus buah di Mesir di antara jus yang paling sedap sekali. Apatah lagi apabila diminum ketika cuaca terik sebegini. Tetapi Shikin tidak bersama,  sudah pulang ke rumah dahulu, penat sangat katanya.

“Haha, Iyalah. Awal-awal semasa kau sampai di Mesir 6 tahun dulu, punyalah kau bangga duduk di Kaherah. Ala-ala Kl, tengah bandar. Semua keperluan senang dicari. Kau kutuk aku yang dekat Mansuro ni, kata yang aku duduk di Melaka”, Mimy membalas tajam.

Sengih kambing terukir di bibir Erina. “Haha, kau ingat lagi kisah tu? Minta maaf kalau kau terasa. Maaf, aku sombong sangat, ” Erina mengakui kesalahannya.

“Itulah. Sekarang ‘Melaka’ ini jugaklah yang dipujinya,” Mimy memulangkan paku buah keras.
Sengih di bibir Erina masih bersisa. Terhibur melayan karenah Mimy.

“Erina, nak dengar satu cerita? Haritu aku dengar benda ni dari roommate aku, katanya dia dapat daripada liqa usrah mingguannya” Mimy mula mengubah tajuk.

“Apanya. Macam menarik sangat! “ Erina mula berminat.

“Aku bacakan ayat ni ya? Dan sungguh , akan Kami isikan neraka jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetap tidak digunakannya untuk melihat ayat-ayat Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak digunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. Dari surah Al-A’raf, ayat 179” Mimy membacakan terjemahan Al-Quran dari Samsung Note II miliknya.

Sambung Mimy lagi, “Setiap kali aku tengok kambing-kambing korban ni, aku teringatkan ayat ini. Mula-mula bila baca aku tak rasa apa-apa. Tapi lepas aku dengar ayat yang sama dekat ceramah You Tube, membuatkan aku terfikir panjang. Allah sebutkan, kelak neraka akan diisi dengan ramai manusia. Bukannya kerana mereka membuat dosa besar, membunuh, berzina, berjudi, mengumpat, tinggalkan solat dan lain-lain. Tapi hanya kerana mereka ada hati, telinga dan mata, tetapi tak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah”.

Erina mengalihkan pandangannya dari Mimy. Terasa ego untuk menentang matanya. Mimy yang dahulu sama-sama ‘nakal’ dengannya kini berbicara soal agama.

“ Aku takut sebab aku ada hati, mata dan telinga macam yang Allah sebutkan tadi. Tapi aku…aku takut aku masuk neraka nanti sebab benda kecil macam ni. Walaupun aku tak membunuh orang. Tapi aku takut tempat aku kelak tetap di neraka yang sama level dengan orang kafir dan orang fasik. Aku takut!” nada suara Mimy sebak. Suasana hening seketika.

Ego Erina goyah. Hatinya tersentuh.

‘Argh, tak sukanya perasaan ni’, monolog Erina. Emosinya bercampur.

“ Tapi, bukannya kita tak gunakan pancaindera ini untuk memahami ayat Allah, kita dengar tazkirah dengan telinga. Kita baca al-quran dengan mata. Tak cukup lagi? “ Erina membalas. Ego.

“ Iya. Tapi sampai ke hati kau, setiap peringatan tu? Kita memang membaca Al-Quran, tapi kita tak faham apa yang Allah nak sampaikan kepada kita,” Mimy membalas lembut. Api tak boleh dibalas dengan api.

“Erina, aku kongsikan ayat ni bukan sebab aku nak cakap yang kau tak baik. Tapi sebab aku sayangkan kau. Aku rasa kita dah cukup ‘nakal’ dan jauh dengan Tuhan. Jom sama-sama kita perbaiki diri. Kalau kau rasa aku cakap ni melebih-lebih, aku minta maaf sangat-sangat,” sambung Mimy lembut.

“Dah la. Jom kita balik. Lama sangat dah kita di kedai ni,” Erina mengajak pulang. Cuba menamatkan topic perbualan ini.

Bukan Erina menidakkan kebenaran di setiap kata-kata Mimy. Tetapi dia perlukan masa untuk berfikir dan mencerna. Egonya perlu direndahkan.


***
“ Thanks a lot Mimy sudi terima kami sebagai tetamu. Jemput datang ke Kaherah. Nanti Erina akan belanja makan Bakso Cinta,” Shikin menceriakan pagi mereka . Hari ini Shikin dan Erina perlu pulang semula ke Kaherah. Kuliah akan bermula esok.

“ Okay ada rezeki insyaAllah. Tengoklah kalau jadual tak pack sangat.” Jawab Mimy sambil bersalaman dengan Shikin. Kemudian dia beralih kepada Erina.

“ Mimy, aku rasa sempena Raya korban ni, aku nak berkorban juga”, Erina menambah.

“ Korban apa lagi? Dah hari raya ketiga dah ni?” Mimy pelik.

“ Maksud aku, bukan korban kambing. Tapi, aku rasa aku perlu berkorban untuk mendapatkan hidayah Allah. Berkorban untuk meninggalkan kecintaan kepada dunia ini. Macam Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail semata-mata kerana perintah Allah,” Erina seperti tidak percaya itu adalah kata-katanya. Egonya berjaya direndahkan.

“ Erina, I cannot believe this. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Alhamdulillah. Allah bukakan pintu hati kita untuk dapat hidayahNya. Semoga Allah membantu kita mujahadah mengorbankan jahiliah diri kita untuk lebih dekat dengan Dia,” Mimy membalas terharu. Dipeluknya Erina. Refleks atas sebuah kegembiraan.


Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Al-Hajj 22:37)



Salam khoruf,
kullu sanah wa antum tayyibin


MHZ,
My Harmonica Zine

11 Zulhijjah 1436H
11.20am