Pages

Friday, December 18, 2015

Contengan Kehidupan #6 : Disleksia




“ 5,6,7,8…” tiba-tiba kedengaran suara halus budak perempuan. Rupa-rupanya dia sedang membantu Muhammad yang sedang terkial-kial mengira.

“ Haip! Mana aci tolong kawan” aku memintas bantuan itu. Terpaksa bertegas dengan mereka.

“ Okay, siapa nama adik?” aku mula memberikan perhatian kepada budak perempuan ini.

“ Aisyah”

“ Okay, kita nak main satu games. Boleh Aisyah tolong mak ayam ni cari telur dia?” aku menyerahkan sehelai kertas maze kepada Aisyah. Ku biarkan dia mengambil masa untuk menjawab.

Sementara itu, aku juga memberikan kertas yang sama kepada kanak-kanak di sebelah Aisyah, Nashrah namanya.

Kelihatan masing-masing struggle mencari jalan.

Sabtu lepas, aku menyertai sebuah pemeriksaan kesihatan dan ujian disleksia kepada kanak-kanak asnaf di Pangsapuri Sri Purnama. Anjuran Akademi Dr Zara bersama Papisma.

Aku ditugaskan untuk membuat ujian disleksia kepada kanak-kanak 7-12 tahun.

Setiap mereka akan menjawab 4 ujian. Ujian membaca, ujian mengeja, ujian mengira nombor dan ujian memahami arahan serta membezakan warna.

“ Dah siap!” Nashrah selesai menjawab.

“ Bagus. Cuba Nashrah jawab soalan kedua pula” Nashrah terus menjawab soalan seterusnya.

Aku memandang kepada Aisyah. Kelihatan kertas itu masih kosong tanpa jawapan.

“ Aisyah, dah siap?”

Dia mengeleng-geleng hampa.

“ Okay takpe. Aisyah boleh membaca? Meh sini bacakan buku ni kepada akak.” Sambil aku menyua sebuah buku bacaan kepada Aisyah. Buku kisah Nabi Hud dan kaumnya.

Aisyah merenung lama. Seolah-olah tembus buku itu ditenungnya.

Aku mula mengesan sesuatu yang tidak kena di situ.

“ Aisyah tak boleh baca?”

Sekali lagi dia menggeleng hampa.

“ Aisyah dekat sekolah sekarang darjah berapa?” aku mula bersembang dengannya. Mengubah pendekatanku kepadanya.

“ Darjah 3”

“ Aisyah pergi sekolah setiap hari atau ada ponteng-ponteng?”

“ Aisyah tak pergi sekolah” dia menceritakan perihal sebenar. Kanak-kanak ibarat kain putih. Jujur tidak tahu berbohong.

“ Kenapa? Sekolah tak best ke?”

Dia diam.

“ Cikgu ajar laju sangat ke?”

“ Aaah. Cikgu ajar laju. Aisyah tak faham”

“ Kawan-kawan tak tolong? Ke kawan-kawan selalu ejek Aisyah?”

“ Kawan-kawan selalu ejek” nada suaranya mula menjadi sedih.

“ Kalau tak sekolah, Aisyah buat apa dekat rumah?”

“ Jaga adik. Adik umur 6 tahun”

“ Mak kerja ke?”

“ Kerja”


“Okay. Ni yang terakhir. Boleh Aisyah tolong akak tuliskan 2 ayat?”

“ Boleh!”

Aku menghulurkan sehelai kertas kosong. Ini ujian yang terakhir. Untuk melihat sama-ada mereka mampu mendengar dan memahami arahan dengan baik dan menulis/mengeja dengan betul.

“ All right. Cuba tuliskan menggosok gigi dan berkumur” aku memberikan arahan pertama.

Kelihatan Aisyah menulis dengan baik. Tetapi dia tersangkut ketika mengeja menggosok. Huruf K tidak ditulis.

“Ayat seterusnya, menikmati aiskrim vanilla” aku memberikan arahan terakhir.

Laju Aisyah menulis.

Aku tersenyum kerana menyedari sesuatu!

Berdasarkan analisaku, Aisyah ternyata merupakan salah seorang anak istimewa yang mengalami Disleksia.

Beliau mempunyai masalah dalam membaca dan mengeja. Hampir kesemua ejaannya akan tertinggal huruf ‘K’.

Menggosogigi dan berkumur
Meni ti ais vanila


Tools untuk ujian disleksia


***
Selalunya saya bukanlah orang yang kanak-kanak friendly. Tapi hari itu, they're kind to me (^_^)

Disleksia
Satu anugerah.

Mereka punya IQ yang baik, Cuma memerlukan perhatian yang lebih untuk belajar.

Bukan Aisyah seorang yang mengalami Disleksia. Sebenarnya ramai di antara orang ternama yang juga mengalami Disleksia termasuklah ahli politik (Lee Kuan Yew), pelakon (Whoopi Goldberg), artis (Leonardo da Vinci) dan saintis (Albert Einstein).

Mereka berdaya imaginasi tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dari pelbagai sudut / dimensi. Di samping bijak dengan kemahiran tangan atau sukan.

Apa itu Disleksia?
·         Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.

·         Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh
o    Mempunyai keupayaan intelek (IQ) yang normal
o    Telah mendapat rangsangan dan pembelajaran yang mencukupi

·         Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi

·         Mereka mungkin mengalami kesukaran
o    Membaca
o    Menulis
o    Memahami
o    Mengeja
o    Mengira

·         Dianggarkan 4 – 8 % pelajar sekolah yang bermasalah disleksia
·         Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan.

Apakah ciri-ciri Disleksia?
  1. Di peringkat pra sekolah mereka mungkin :
o    Lambat bertutur
o    Mengalami kesukaran sebutan atau rima
o    Sukar menulis nama sendiri
o    Payah mengenal bentuk atau warna
o    Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya

  1. Di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin :
o    Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira

o    Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas

o    Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) :
§  15 dengan 51
§  “was” menjadi “saw”
§  ‘b’ dengan ‘d’‘

o    Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut

o    Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’

o    Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan

o    Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah

Masalah lain yang mungkin dialaminya
·         Disalah sangka dan digelar sebagai malas, bodoh atau lembab

·         Pembentukan imej diri yang sihat terjejas dan mengalami rasa rendah diri

·         Jika tidak dikenal pasti dan dibantu di peringkat awal boleh menyebabkan
o    Gangguan emosi (seperti kemurungan)
o    Masalah tingkah laku (seperti melawan, kecelaruan tingkah laku)
o    Rendah pencapaian akademik (menyebabkan keciciran sekolah)

Inilah dilema anak-anak yang mengalami Disleksia.

Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa tidak/ lambat menyedarinya

Lebih menyedihkan apabila ibu bapa tidak memahami, serta menganggap anak istimewa isi sebagai bodoh dan lembap. Apatah lagi jika dibandingkan dengan adik beradik yang lebih pandai.

Seribu kali sayang, jika guru-guru di sekolah tidak dapat memberi perhatian kepada anak-anak istimewa ini. Rakan-rakan di sekolah cepat sahaja menghukum mereka! Masyarakat pun tidak kurangnya.

Seorang kawan rapat saya merupakan seorang yang mengalami Disleksia, tetapi alhamdulilah, beliau berjaya menjadi seorang doctor. Bagaimana dia boleh berjaya?

Dia menyedari akan perkara ini dan cuba menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran di sekolah. Di samping sokongan moral dari keluarga dan rakan-rakannya.

Seawal mengenalinya, saya juga hairan melihat cara study nya. Dia dikategorikan sebagai seorang pelajar pintar dan selalu mendapat tempat top 3 di dalam setiap peperiksaan.

Sedangkan dia jarang menulis nota di dalam kelas.

“ Kalau aku sibuk nak salin nota masa lecture, mesti masa aku habis dengan mengeja term-term medic yang pelik-pelik tu je’ selorohnya ketika aku bertanyakan hal ini.

Oleh itu, seluruh focusnya dipusatkan kepada setiap perkataan yang terbit dari mulut Professor. Dan dia boleh mengingatinya dengan sangat baik! Otaknya seperti span yang menyerap setiap titisan air! Subhanallah! Dia jarang tidur di dalam kelas.

Ketika belajar seorang diri, dia akan menyediakan sehelai kertas kosong, dan kertas itu akan dipenuhi dengan ejaan-ejaan term medic.


Membantu anak-anak bermasalah Disleksia
Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah :
  1. Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan diri anak
  2. Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan

  1. Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui :
o    Terapi pertuturan
o    Latihan pendengaran dengan bantuan komputer
o    Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu pembelajaran)
§  Deria sentuhan (menggunakan lakaran atas kertas pasir)
§  Deria pendengaran (menggunakan ritma atau bunyi perkataan/ huruf)
§  Merasa pergerakan bibir
§  Menulis huruf atau perkataan

  1. Langkah-langkah pemulihan :
o    Bantu anak menguasai maklumat secara beransur ansur
o    Pengulangan semasa mengajar (konsep ajar berlebihan)
o    Gunakan video atau kaset untuk belajar

  1. Program pemulihan khusus :
o    Ada sekolah yang mempunyai program pemulihan khusus untuk Disleksia


Bersama AJK dan orang kampung



Kumpulan sokongan
Persatuan Dyslexia Malaysia No 6, Persiaran Kuantan Setapak 53200 Kuala Lumpur Telefon / Fax : 03-40255109 Email : dyslexiaft@time.net.my

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/index.php/disleksia




Friday, December 11, 2015

Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada ahli keluargamu


Bismillah, bersempena dengan musim hujung tahun dan ramai rakan-rakan yang bakal walimah,
saya dedicate post ini utk kalian.


"Barakallah lakuma wajamaa' bainakuma filkhair" (^___^)
Moga berchenta sampai ke syurga. 



Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada ahli keluargamu


True love


“ Angah, Perempuan kan kuat? Kalau lembik-lembik ni orang pondan je”

Tiba-tiba suara ayah sampai di telingaku. Ketika itu aku sedang keletihan semasa berkebun. Memang menjadi rutin mingguan kami menghabiskan masa, berkebun bersama ahli keluarga.

“ Pondan?” balasku hairan.

“ Iyalah, Orang perempuan kan kuat! Emosinya kuat. Tahan cabaran. Jadi, kalau yang lembik itu, pondan namanya” Ayah menjelaskan.

***

Begitulah Ayah. Dia sentiasa ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Walaupun anak perempuan, tetapi kami juga diajar untuk berkebun, mengecat rumah, menukang dan sebagainya. Kata ayah, akhir-akhir zaman ini, kemahiran asas seperti ini penting selain pandai memasak dan mengemas rumah.

Kadang-kadang saya melihat ayah terlalu disiplin dan tegas dalam mendidik anak-anak. Ketika kecil, saya pernah dikurung di dalam tandas kerana lambat pulang bermain di hari yang hujan lebat. Risau mami dan ayah mencari saya dan abang. Habis semua jiran ditelefon bertanya akan kami. Saya juga pernah dirotan kerana meninggalkan solat dengan sengaja ketika di sekolah rendah.

***


A001

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisaa':1)

Walaupun An-Nisa membawa maksud wanita, namun sebenarnya ia turut menceritakan tentang anak yatim, hamba sahaya, para pembantu yang dianggap kaum yang lemah. Surah An-Nisa membawa tema berbuat baik kepada kaum yang lemah.

Menariknya surah ini apabila ia dibuka dengan ayat di atas, ayat ini menyeru kepada kaum lelaki agar berlemah-lembut terhadap kaum wanita. Juga mengingatkan mereka bahawa tanpa wanita, mereka mungkin takkan wujud di muka bumi ini. Tanpa wanita, kaum manusia takkan membiak dan berkembang di muka bumi ini.


Amru Khalid menuliskan di dalam Kitab Khawatir Quraniahnya,

“Sesungguhnya keadilan terhadap kaum wanita dalam rumah tangga merupakan contoh ukuran keadilan kaum muslimin dalam menjalani ujian kekhalifahan di muka bumi. Oleh kerana itu, masih adakah yang beranggapan bahawa Islam berlaku sewenang-wenang terhadap kaum wanita dan tidak berlaku adil kepada mereka?”


“Wanita adalah belahan lelaki”

Penciptaan wanita adalah daripada kaum lelaki. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semula jadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza daripada kaum lelaki. Lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semula jadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan.

 Begitu juga wanita, perlu menghormati dan menerima lelaki dengan sifat semula jadinya. Kerana kejadian lelaki dan wanita itu saling melengkapi.

Lihatlah contoh Rasulullah SAW bergaul dengan keluarganya.Suatu hari ketika Baginda pulang di lewat malam, Rasul SAW sanggup tidur di luar rumah semata-mata kerana tidak mahu menganggu tidur isterinya Aisyah RA.

Dan apabila tiba di sepertiga malam, Rasulullah SAW akan mengejutkan isteri-isterinya untuk sama-sama bangun menunaikan qiamullail.

Kehidupan rumah tangga bukan sekadar bahagia di dunia, tetapi juga bahagia di akhirat.

***

“ Angah jangan lupa pakai mask semasa berkebun. Jerebu masih tak surut lagi ni. Pakai juga topi untuk elakkan dari panas terik. Ayah dah belikan mask untuk semua”, ayah sempat memberikan pesanan sebelum dia berlalu.

Saya tersenyum. Rasa dilindungi. Rasa disayangi.

Maklum sahaja bahawa orang lelaki memang susah mengungkapkan sayang. Tetapi ungkapan sayang mereka diterjemahkan di dalam bahasa ‘prihatin’ seperti tadi.

“ Okay InsyaAllah. Nanti angah pakai“

Dan saya terus mencapai mask, topi dan sarung tangan dari dalam almari dengan senyuman yang masih meleret di bibir.


Oh ye, pesanan tambahan saya kepada kalian,


A006
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Sebenarnya ini juga adalah pesanan untuk diri sendiri. Saling berpesan kepada kebaikan insyaAllah.




*Pondan yang dimaksudkan ialah mereka yang sepatutnya lelaki, tetapi sengaja memilih menjadi sebaliknya. Bukan kerana sebarang penyakit.

Artikel ini telah memenangi tempat kedua ketika Penawan tempoh hari. 



MHZ
Sri Saujana, Gombak.