Pages

Friday, November 21, 2014

From Egypt to Spain with Love 1.0 ~


Andalusia..

Bumi Muhasabah~
"Menangislah kamu seperti perempuan, kerana negaramu telah hilang...
kamu dahulu tidak menjaganya seperti seorang lelaki"




Peluang bermusafir di Andalusia ini saya berdoa kepada Allah agar dapat belajar sesuatu daripada pengembaraan ini, membuka hati dan minda agar lebih memahami tujuan kita diciptakan di muka bumi Allah ini.
Ada pelbagai perkara yang kita boleh belajar daripada buku, namun lebih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada alam, dengan berinteraksi sesama manusia dan melihat kesan-kesan tinggalan pada alam.
Bagi saya, alam adalah antara guru yang terbaik.
Maka benarlah firman Allah:
“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.”
 (Surah Al-Hajj, ayat 46)

Perjalanan ke Andalusia yang terkenal dengan peninggalan dan sejarah Islamnya yang sangat gah ini, dimulai dari Madrid, kemudian dilanjutkan ke Toledo- Cordoba- Granada- Barcelona- Madrid dan pulang ke Cairo semula.

Alhamdulillah, tanpa sebarang masalah kami berjaya mendarat di Lapangan Terbang Madrid pada pukul 4.45 pm waktu tempatan. Kami seramai 29 orang (27 orang rombongan umrah yang bertolak daripada KLIA, saya seorang yang bertolak dari Cairo Airport, dan adik lelaki saya yang bertolak dari Domodedovo Airport, Moscow).

Di sana kami disambut oleh Ahmad, pemandu pelancong kami, anak kelahiran Granada yang beragama islam. Alhamdulillah kerana Allah memudahkan semua urusan kami di airport.

Seterusnya kami dijamu dengan makanan tengahari di Restoran Omar, yang terletak bersebelahan dengan Stadium Real Madrid, kebetulan pagi itu pasukan bola Real Madrid baru sahaja memenangi perlawanan bola, maka ketika itu Bandar Madrid sangat meriah dengan sorakan-sorakan rakyat yang menyokongnya. 

Stadium Real Madrid yang dipenuhi sambutan

Banggunan kerajaan turut mengibarkan bendera pasukan bola Real Madrid atas kemenangan mereka

Lunch bersama

Taaruf sambil lunch

Selepas lunch, kami terus bertolak ke Toledo dengan bas. Jarak Toledo-Madrid sebenarnya hanya sekitar 70 km. Namun kerana jalan yang dipilih bukan jalan highway, maka waktu yang diperlukan hampir 1 jam lebih untuk sampai ke tujuan. Namun kami berpuas hati kerana kami disajikan dengan pemandangan yang cantik di sepanjang perjalanan.

Dan Alhamdulillah, menjelang pukul 7.10pm kami memasuki kota benteng yang terletak diatas bukit ini. Ketika itu kami kalut untuk menunaikan solat. Kerana kebiasaan di Mesir mahupun Malaysia,  sekitar pukul 7 itu menunjukkan akan masuk waktu maghrib tidak lama lagi, sedangkan ketika itu kami satu rombongan masih lagi tidak menunaikan solat jamak zohor-asar.

Namun, selepas check in di Hotel Mayoral, Toledo, saya memeriksa waktu solat di Spain, sangat terkejut kerana ketika itu (pukul 7.30pm), masih lagi di dalam waktu asar.


Rupa-rupanya kerana siang yang panjang di Spain ini, jarak waktu solat zohor dan asar sangat lama. Azan subuh pada pukul 4.50am. Azan zohor pada pukul 2.15pm. Azan asar pada pukul 6.10pm. Azan maghrib pada pukul 9.30pm dan azan isya pada pukul 11.25pm.
Boleh bayangkan betapa sekejapnya waktu tidur malam yang sangat pendek ketika itu?
***
Pembukaan Andalus

Sejarah Islam di bumi Sepanyol dan Toledo
Pada tahun 711M, pasukan Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad mulakan penaklukan Andalusia. Dengan bantuan Panglima Julian, Gabenor Ceuta, beliau membantu pasukan islam seramai 12 000 orang menyeberangi laut dan masuk ke bumi Iberia ( yang turut dikenali sebagai Andalus- ia merangkap Sepanyol, Portugal dan Perancis Selatan) melalui Bukit Jibraltar. Jibraltar berasal dari kata Jabal Tariq atau Gunung Tariq.

Dan dalam suasana itu, Tariq cuba menyemarakkan semangat jihad para pejuang. Tariq mengucapkan pidatonya yang terkenal:

 “Saudara-saudara sekalian! Ke manakah kamu hendak melarikan diri? Lautan di belakang kamu dan musuh di hadapan kamu. Demi Allah, kamu haruslah tabah dan sabar.”
Selepas berjaya menumbangkan Raja Roderick, Tariq bin Ziyad dan pasukannya berpecah untuk menakluki Andalus dan menyebarkan Islam di serata bumi subur itu. Masing-masing bergerak ke Granada, Cordoba, Toledo dan Seville.
Toledo yang merupakan ibu kota Wisigoth ketika itu ditaklukkan setahun setelah itu, iaitu pada tahun 712 M. Padahal kota ini terletak jauh di tengah daratan Sepanyol. Dapat dibayangkan bagaimana cepatnya pasukan Tariq mara untuk menyebarkan Islam di bumi Andalus ini.  
Semakin hari bilangan umat Islam semakin bertambah di Toledo. Tentera-tentera Islam bukan sahaja tangkas menghayun pedang, namun turut memainkan peranan sebagai pendakwah. Masing-masing menunjukkan akhlak Islam yang mulia sehingga menambat hati penduduk tempatan untuk memeluk agama Islam.
Mereka ibarat singa di siang hari, rahib di malam hari. Bagi mereka yang memiliki kemahiran-kemahiran tambahan seperti pandai membaca dan menulis, mereka akan mengajar rakyat tempatan kemahiran-kemahiran tersebut.
Malah tentera-tentera Islam juga rajin membantu rakyat tempatan mendirikan masjid. Ia dibina bagi memudahkan rakyat tempatan yang baru memeluk agama Islam mengamalkan Islam. Masjid ketika itu menjadi pusat tumpuan. Selain menjadi pusat ibadah, ia juga berperanan untuk mengajarkan kitab-kitab, menjadi tempat berjual beli, tempat perkumpulan dan sebagainya. *Bukan seperti masjid-masjid di Malaysia sekarang*

Maka tidaklah pelik jika Toledo akhirnya menjadi tempat penterjemahan kitab-kitab Islam dan dari sana lahir ramai tokoh-tokoh Islam yang kita kenali.
Al-Khawarizmi (783M – 850M), Al-Kindi (801M – 873M), Al-Battani ( 855M – 923M), Ar-Razi/Rhazes (865M – 932M), Ibnu Haitam / Alhacen (965M – 1039M), Al-Biruni (973M – 1050M), Ibnu Sina/Avicenna (980 M – 1037M) dan Al-Jazari (1136 M -1206M) dari Persia, Ibnu Khaldun (732M – 808M) dari Tunisia, Al-Zarqali/Arzachel (1029M – 1087M) dan Ibnu Rusdy/Averroes (1126M – 1198M) dari Andalusia  adalah contoh dari sekian banyak ilmuwan Muslim yang hidup di masa kejayaan Islam.
Mereka ini bukan hanya menguasai ilmu yang sifatnya duniawi seperti ilmu perubatan, fisik, kimia, matematik, ekonomi, astronomi, seni dll namun juga ilmu agama dan ilmu akhirat. Bahkan mereka bukan sahaja pakar di dalam satu bidang, tetapi turut pakar di dalam bidang ilmu yang lain.
Ibnu Sina contohnya, selain terkenal sebagai doktor dan menulis kitab perubatan Tib fil Islam, beliau sebenarnya merupakan pakar di dalam bidang fiqh, falsafah dan matematik.
Mereka adalah para ilmuwan, sekaligus alim ulama handal yang membawa dunia Islam menuju puncak kejayaannya. Andalusia adalah salah satu bukti zaman kejayaan tersebut.
Bagi melahirkan umat Islam yang berkualiti, sifat muthaqaf (tinggi ilmu pengetahuan) ini merupakan antara contoh tauladan yang perlu dicontohi oleh generasi kita ini. Di samping hubungan yang kuat dengan Allah.
Para ilmuwan Barat saat itu mengakui bahwa peninggalan Islam di Toledo termasuk yang paling banyak, disamping Saragossa, Sevilla dan Cordoba.
Dari Andalusia inilah ilmu pengetahuan masuk ke Eropah. Kerana bahasa Arab kemudian menjadi bahasa utama kerajaan maka para pendatang kulit putih haruslah mempelajari bahasa Arab.
Ironinya setelah berhasil mengecapi dan menguasai berbagai ilmu, mereka pulang ke negerinya masing-masing, menerjemahkan buku-buku besar karya ilmuwan-ilmuwan Muslim dan mengakuinya sebagai karya sendiri!!
Lihat betapa berbezanya sikap ilmuwan barat berbanding dengan ilmuwan Muslim
Dan nampaknya kecurangan ini terus berlanjutan hingga ke saat ini, dimana banyak tinggalan-tinggalan Islam dihilangkannya/ dimanipulasi sehingga yang tinggal ketika ini hanyalah banggunan-banggunan, istana, masjid-masjid yang dibina oleh orang Islam, namun yang mendiaminya ialah orang-orang Kristian. Lebih memedihkan hati apabila mereka turut menukar masjid menjadi gereja dan menggunakannya sehingga sekarang.
Sejarah kota-kota lama yang dulu pernah berada dibawah kekuasaan Islam dihapuskan sikit demi sedikit…

(bersambung InsyaAllah..) 

p/s: InsyaAllah saya akan bertempur di medan peperiksaan terakhir untuk degree saya buat beberapa bulan ini. InsyaAllah saya akan regular menyambung travellog ini hingga ke akhirnya.
Mohon doakan Allah permudahkan saya dan memberkati masa-masa kita semua.

Syukran jazilan, take care people~ (^.^)



MHZ,
10.01pm
Beyt Sq, Kaherah

1 comment: