Wednesday, December 25, 2013

From Cairo to UK with love 1

Bismillah...



"Dekat mana akak beli benda tu?"  

 Aku mengangkat kepala. Tepat anak matanya memandang ke arahku.  

 "Awak cakap dengan akak ke? Benda apa ye?" soalku ingin mendapatkan kepastian.   

"Benda comel dekat telinga akak tu".  

 "Oh earmask ni ke? Dekat Liverpool haritu.. Tapi sebenarnya akak dah ada satu dekat Mesir tapi tertinggal. So, akak belilah baru.."  

 " Eyh, dekat Mesir pun ada benda ni? Mesir ada musim sejuk eyh?"   Aku angkat muka. Memandang matanya tepat. Budak ni biar betul dia tak tau yang Mesir pun sekarang tengah musim sejuk.  

 Wajah jujur itu membalas pandangku. 

 " Aah. Mesir pun ada winter. Dekat sana pun ada je jual glove, mafla semua.."   

" Oh, kiranya Mesir pun ada four season jugak la?" 

" Aah. Cuma dua musim je yang prominent. Musim sejuk dan musim panas. Autumn and spring could be within 3 weeks only".   Dia mengangguk. Mungkin ini pelajaran baru baginya.   

" Mesti awak ingat yang Mesir tu just ada padang pasir, panas, unta je kan?" giliran aku pula menyoal.  

 " Hehe.. Aah. Ingatkan Mesir tu panas je. Tapi saya tak berani nak tanya. Segan.." dia dah buat sengih kerang busuk.   

Dan ketawa antara kami pecah berderai.   

**** 

Aku senyum sendiri. Teringat perbualan pagi tadi dengan seorang ukhti yang belajar di London. Dia yang menjadi tourist guide kami sepanjang musafir di bumi London ini.   Alhamdulillah, London merupakan perhentian terakhir kami sebelum pulang semula di Mesir minggu hadapan.  

 DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

  Big lesson yang aku belajar sepanjang musafir kali ini.   Sejujurnya, aku sendiri pernah beranggapan sedemikian sebelum aku fly belajar di Mesir 5 tahun dahulu.   

Aku membayangkan yang aku akan ke kuliah berjalan kaki atau menaiki unta. Epik.  

 Tak pernah terbayang yang kota Kaherah itu sesak dengan kereta yang bersimpang siur, hon kereta yang dah jadi music harian. Pembangunan yang pesat membangun. Keldai beqia ala- ala recycle bin yang menelusuri lorong-lorong kecil. Dan banyak lagi perkara lain-lain lagi yang memberi Mesir seribu satu warna yang tak dapat nak gambarkan.   

*** 

Begitu juga dengan diriku. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi bersekutu ini, aku ibarat rusa masuk kampung.   

Tercengang dengan kehebatan dan kecekapan teknologu di sekeliling kami. Ditambah dengan segala hal yang terurus sistematik.   

Sebut sahaja ingin ke mana, boleh di install apps yang boleh membantu kita untuk merancang perjalanan.   

Perkhidmatan awam seperti bas dan tube yang sangat efisien. Kekerapan yang selang beberapa minit sangat memudahkan pengguna.   

Padanlah mereka yang hidup di bumi ini sangat terkejut, apabila menziarahi bumi anbia kerana di sana kami hidup serba manual.   

Di Mesir, stesen bas adalah di mana-mana sahaja. Maksudnya jika Ingin menahan bas, tremco atau teksi, boleh sahaja menahan di mana-mana kawasan di tepi jalan raya walaupun tiada tiang yang menunjukkan itu adalah bus stop.   

Malah, saya masih teringat ketika kami menjalani kelas amali di makmal biochemistry, test tube dibakar direct kepada api dari bunsen burner, tanpa stand dan tanpa perlu direndam dalam air bla bla.   

Wow! Serius bahaya. Tapi bila toleh kepala, melihat makcik-makcik yang menjaga makmal tersebut, jatuh rahang melihat makcik-makcik itu semua memasak telur rebus menggunakan bunsen burner dengan cool bergaya.   

Itu tak tengok lagi makcik-makcik ni simpan frozen food dekat peti ais yang simpan kuman-kuman bahan seni dekat lab microbiology.   Ngeri.   


  Oleh kerana kita manusia, kita memang sifatnya suka menghukum pada pandangan pertama.  

 Bila nampak awek tak pakai tudung pakai jeans ketat, siap pakai pengilat kuku warna hitam, kita dah assume dia tak solat. Padahal mana tahu dia tengah period waktu tu, dan selama ni dia masih menjaga solat.   

Bila nampak mat rempit tiba-tiba menjejak kaki dekat masjid, mesti dalam hati dah cakap macam ni, " Dah rempit-rempit, tahu pulak nak singgah masjid buang air". Padahal mana tahu waktu tu dia memang datang nk qada' hajat dan solat berjemaah.   
Bila nampak budak kecik minta sedekah, terus minda bawah sedar cakap, tak payah bagi. Mana tahu diorang tu sindiket meminta sedekah. Kalau bagi duit pun kot-kot guna duit tu buat beli rokok. Padahal kita tak tahu yang sebenarnya budak tu memang dah berhari-hari tak makan sebab takde duit.   

And the list will go on.   

Don't judge a book by its cover.   

Kerana semua manusia membesar dengan sahabat, keluarga, budaya dan persekitaran yang berbeza. Sehingga akhirnya tercorak la peribadi kita yang sekarang ini.  

 Dan kerana wujudnya ramai manusia yang species seperti ini la, menjadikan ramai orang yang ingin menganut Islam atau berubah kepada semakin baik takut ingin melakukan perubahan.   

Kerana persekitarannya dipenuhi dengan manusia yang suka menghukum. Lebih ramai daripada manusia yang suka menasihati.   

Dan lebih parah lagi jika manusia yang bergelar daie, memiliki peribadi seperti ini, suka menghukum instead of suka menasihati.  

 " Tak payah la awak susah- susah nak jaga solat. Awak tak pakai tudung ni pun dah boleh kene bakar dengan api neraka tau".   

" Ala kau bajet bagus je singgah masjid solat lepas merempit, mana tahu tengah kau rempit tu malaikat maut datang jemput, mati katak jugak kau".   

Adoyai...*face palm*.

ketahuilah bahawa Rasulullah sebagai contoh tauladan kita tak pernah mengajar kita method berdakwah dengan cara begini. Sindir-sindir.   

Tapi masalahnya memang wujud pun daie yang berperangai seperti ini. *peluh besar*  
Oleh sebab wujudnya daie seperti ini, maka wujudlah mad'u yang berperangai seperti ini: 

  " Ek eleh, bajet dia tu alim sangat la nak nasihat-nasihat orang. Adik dia pun dua kali lima je. Free hair macam aku jugak"   

"Tak payah la nak nasihat-nasihat saya. Kubur lain-lain bang oii". 

  Mad'u yang rebel, menjawab dan malas mendengar nasihat.  

 *** 

Oleh itu, ini antara resolusi yang saya akan cuba amalkan. Antara pengajaran yang saya dapat dari jaulah ini.   

Biarlah sesiapa pun mad'u kita, jangan  cepat menghukum dan teruslah berdakwah dengan hikmah, cool dan bergaya.   

Kerana semua orang layak mendapatkan syurga. Walaupun kehidupan lalu dia penuh dengan jahiliah. 

  Sahabat Nabi pun rata-ratanya memiliki jahiliah tersendiri.  Saidina Umar pernah membunuh anak perempuannya sendiri, dan akhirnya digelar al-farouq dan dijanjikan antara 10 sahabat yang akan masuk ke syurga.  

 Ikrimah antara orang yang paling membenci Rasulullah, sehingga dia pernah berjanji akan membunuh Rasulullah jika terserempak dengan Baginda. Akhirnya gugur syahid sebelum menghembuskan nafasnya, beliau dengan ithar memberikan air kepada sahabat lain yang gugur di dalam Perang.  

Amru al-Asr yang juga antara orang yang lantang menentang dakwah Rasulullah di Kota Mekah, malah cuba menghalau sahabat yang lari ke Hudaibiah. Tetapi akhirnya boleh menjadi duta islam ke Mesir ketika zaman pemerintahan Saidina Umar. Malah mampu mengislamkan hampir seluruh orang di Mesir ketika itu. MasyaAllah.  

 "To be judged who you were is just unfair, as to be judged butterfly when it still in caterpillar."   

Tak adil, menghukum ulat beluncas itu buruk dan hodoh sebelum dia menjadi rama-rama yang chantek.  

 May Allah ease everything.    


Sedang menulis, 
Ketika di dalam train ke Oxford,
 1.34pm, 23 dis 2013.

Tuesday, December 10, 2013

Bebelan pasca peperiksaan


Carlton Hill, Edinburg

Kebaikan itu apabila membuang duri di jalanan.

Kebaikan itu adalah apabila bangun dari tempat duduknya, untuk diberikan kepada orang tua yang memerlukan di dalam bas yang sesak sempit seperti tin sardin. Walaupun sebenarnya dia sangat memerlukan kerusi itu.

Kebaikan itu adalah sanggup bangun di awal pagi untuk memasak sarapan, khas buat seorang temannya yang kepingin.

Kebaikan itu adalah masih mampu tersenyum, saat dia sangat keletihan, baru pulang dari kuliah seharian. Lantas dia masih mampu menyinsing lengan membantu sahabatnya menyediakan hidangan makan malam.

Kebaikan itu.. Jika ada di hatimu walau sekelumit, cukuplah untuk menjadikan hidup ini indah.


فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ  وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Barangsiapa yang mengerjakan amal perbuatan kebaikan sebesar dzarrah pun, niscaya ia akan mendapatkan balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan amal kejelekann sekecil dzarrah, pasti ia akan mendapatkan balasannya”. (QS. Al-Zalzalah 7-8)

***

Alhamdulillah ala kulli hal, Selesai sudah satu pertempuran duniawi.

Ternyata, peperiksaan akhir tahun, tahun 5 sekolah perubatan benar-benar mencabar keyakinanku.

Aku, tak pernah membayangkan akan melangkah sejauh ini dalam bidang perubatan ini. Sejujurnya, aku merasakan aku bukanlah " Born to be a doctor"

Walaupun ramai yang merasakan aku sesuai, tetapi apabila mengukur baju di badan sendiri, aku tahu setakat mana kemampuanku.

InsyaAllah, cuti selepas exam ini akan ku manfaatkan sebaiknya.

Buat sementara ini aku sudah meninggalkan bumi cinta Mesir ini seketika. Bermusafir ke Negeri Bersekutu untuk suatu jangka masa.

Musafir untuk mencari ketenangan diri. Mencari semula hammasah di hati, yang telah mati, beku dek penangan peperiksaan kali ini.

Musafir untuk mencari sebuah kasih-sayang.

Musafir untuk keluar dari comfort zone, dan belajar banyak dari perjalanan.

Musafir, untuk mencari Ilahi, agar kebaikan itu masih bersisa di hati.

Berjalanlah, bermusafirlah...
Melihat kebesaran TuhanNya...
-Mirwana-


" Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya. 
Dan hanya kepadaNyalah kamu dibangkitkan"
 (Al-Mulk: 15)

Moga Kau permudahkan setiap urusanku dalam setiap aturan langkah kakiku.

Bismillah..

Cairo Airport

Edinburgh,Scotland

MHZ,
Manchester
9.08 pm
9 dis 2013

Thursday, November 7, 2013

Tahun baru, semangat baru!


Alhamdulillah walhamdulillah,

atas nikmat kurniaannya dapat lagi kita mengecapi nikmat memasuki tahun baru maal hijrah 1435H. Ini bermakna kita telah meninggalkan tahun 1434H dan memasuki tahun baru. Semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa dan maksiat yang telah kita lakukan pada tahun yang lalu dan semoga tahun baru ini, tahun baru, semangat baru, azam baru dan diharapnya tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas dan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini dan seterusnya.

Untuk pengetahuan,  kalendar islam mula diperkenalkan pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, atas saranan Saidina Ali Abi Thalib. Walaupun idea perlaksanaan tahun hijrah ini telah timbul ketika zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar. kerana didapati ketika itu umat islam masih menggunakan tahun gajah dan sebagainya.


Kelebihan Bulan Muharam

Allah berfirman, 

”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679) 

Bulan Muharam merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram, di mana bulan haram antara bulan yang dimuliakan oleh Allah. Allah melarang keras pertumpahan darah pada bulan ini. Beribadah pada bulan haram pahalanya dilipat gandakan dan bermaksiat di bulan ini dosanya juga dilipat gandakan. 

Maka janganlah kamu menzalimi diri sendiri. Zalim dalam erti kata yang sangat luas adalah, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Jika hak badan kita untuk sihat, maka kita harus makan makanan yg berkhasiat, bersukan untuk menjaga hak badan.

Jika hak rohani untuk mendapat makanan hati, maka kita perlu menambah ibadah supaya kelazatan beribadah itu dapat dirasai hati.

Jika akal mempunyai hak untuk menuntut ilmu, maka janganlah kita serik untuk menimba ilmu sebaik-baiknya.

Jika hak aurat itu untuk ditutupi, maka seharusnya kita tidak berdalih untuk menutup apa yang perlu ditutup, bukanlah aurat itu ditutup kerana fesyen, segan, malu dan sebagainya, tetapi aurat itu perlu ditutup kerana haknya perlu dijaga dan hak kita sebagai hamba Allah, perlu mengikut suruhan Allah.



10 Muharam, Hari Asyura

Pada 10 Muharam,  Allah menyelamatkan nabi Musa as dan Bani Israil dari dikejar Firaun. Maka, Nabi Musa memuliakannya dengan berpuasa, sebagai kesyukuran atas pertolongan Allah.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا يَعْنِي عَاشُورَاءَ 
فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ 
فَقَالَ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Dari Ibnu Abbas RA, bahwa nabi saw. ketika datang ke Madinah, mendapatkan orang Yahudi berpuasa satu hari, yaitu ‘Asyuraa (10 Muharram).
 Mereka berkata,“ Ini adalah hari yang agung yaitu hari Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan keluarga Firaun. 
Maka Nabi Musa as berpuasa sebagai bukti syukur kepada Allah.
 Rasul saw. berkata, “Saya lebih berhak mengikuti  Musa as. dari mereka.”  
Maka beliau berpuasa dan memerintahkan (umatnya) untuk berpuasa” (HR Bukhari).

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Tahun baru, azam baru

Kebelakangan ini, saya selalu mendapat khabar gugurnya beberapa orang pemuda al-akh yang setia di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Antaranya ialah kematian akhi Iman, dan yang terakhir ini kematian akhi Ammardi Turki. Walaupun mereka baru sahaja berada di usia muda, tetapi ternyata Allah lebih menyayangi mereka. Sungguh, saya kagum dengan pemergian mereka yang mampu menghidupkan hati-hati manusia. 

Ternyata banyak hati-hati yang terketuk dan tersentuh dengan pemergian mereka, walaupun sebenarnya saya tidak pernah bertemu mata dengan mereka, tapi cerita-cerita yang baik sahaja kedengaran keluar dari mulut sahabat-sahabat yang mengenali mereka.

Muhasabah diri sendiri, adakah jika ditakdirkan aku mati sekarang, dapatkan kematian aku memberikan sesuatu kepada ummah? Adakah jika aku akan mati esok, amalan aku sudah melayakkan aku untuk mengecapi nikmat syurga firdausinya?

T_____T

Saya ingin mengajak semua pembaca, untuk melihat semula dan memuhasabahi:
- Apakah amalan kita selama ini sudah mencukupi?
- Apakah azam baru yang ingin kita laksanakan bersempena tahun baru ini?
- Adakah kita sudah berpuas hati dengan kejayaan kita hari ini? Maksud saya, adakah kejayaan kita hari ini akan memberi keuntungan kepada ummah?

atau... Adakah tahun baru tidak membawa apa-apa erti dalam hidup anda? =.=


Semangat pemuda

Sayang seribu kali sayang jika anda tidak menjadikan tahun baru ini sebagai batu loncatan untuk memperbaiki kehidupan kita selama ini. Tahun baru sepatutnya disertakan dengan azam baru dan tajdid niat baru. Mari kita ambil semangat pemuda al-kahfi. 

Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)


Siapakah itu Fityah?

Fityah yang merujuk kepada ayat diatas, adalah pemuda-pemuda yang memiliki hammasah (semangat) yang tinggi dan mempunyai keimanan yang jitu.

Walaupun PBB telah mendefinasikan pemuda atau Belia ialah mereka yang berada dalam lingkungan 15-24 tahun, tetapi Hassan Al-Banna mendefinasikan pemuda adalah mereka yang memiliki keempat-empat rukun berikut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Sejujurnya, saya lebih bersetuju dengan definasi yang dibawa oleh Hassan Al-Banna, kerana sejujurnya saya selalu menemui pakcik makcik yang sudah berumur 40 tahun ke atas tetapi memiliki hammasah yang sangat tinggi mengalahkan saya yang 'belia' ni..

Suka ingin saya kongsikan beberapa petikan daripada risalah Wahai Pemuda, yang menyentap sanubari saya ketika membacanya.

"asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambah berat.

Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Ada pemuda yang lahir serta membesar  di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak"

T___________T

* Ahh. terasa macam kene lempang laju-laju sebab nak mengaku PEMUDA pun tak layak sebab rasa semangat juang ni dah longlai.



Lihatlah manifestasi semangat pemuda, di mana tak mugkin ssuatu revolusi dapat dilaksanakan tanpa semangat daripada pemuda2 yg ikhlas


Maka, mari kita ambil semangat pemuda ini. Bangkitlah wahai pemuda Islam sekalian!

Manfaatkan masa mudamu sebaiknya, kerana kelak di akhirat, Allah akan menanyakan

 " Masa mudamu, ke manakah kamu habiskan??"

Malu la kalau kita nak cakap,

" Aku buzy mengejar kemahsyuran dunia Ya Allah!!" * Face palm*

Juga jangan lupa terus mendoakan saudara seislam kita di Mesir, Syria dan Palestine. 



Salam maal hijrah 1435H dari saya. Yok! Mari kita semua berHIJRAH ke arah yang lebih baik!!

p/s: Sori saya dapat rasakan penulisan saya semakin kurang bermutu. pensil sudah tumpul mungkin :(  Mohon doa dari semua untuk exam saya yang bakal berakhir hujung november nanti.


MHZ,
Road to Ustaziatul Alam,
3 Muharam 1435H.

beyt SQ,
9.00pm
6 Nov 2013

Wednesday, October 23, 2013

Melepaskan itu, menyakitkan



Baru aku tahu. Sakit rupanya melepas orang yang kita sayangi.

Tua sudah aku rupanya, bila tika ini.. Ramai rakan karibku meninggalkanku untuk meneruskan langkah kaki mereka menaiki tangga kehidupan yg seterusnya. Jodoh mereka. Alhamdulillah.

Sakit rupanya, Melepaskan permata-permata Mesir melanjutkan pelajaran mereka ke Malaysia. Perjuangan mereka,Alhamdulillah.

Mengapa harus aku tangisi? Sedangkan mereka masing2 sedang melangkah kepada kehidupan baru mereka.  

Sepatutnya aku bahagia melihat mereka bahagia. Entah. Aku la kot yg masih tidak matang. Masih tidak reti membahagikan sayang di hati.

Aku harus mengerti, bahawa aku bukan sesiapa pada mereka, hanya seorang sahabat yang mencintai mereka kerana Allah. Bukan sesiapa pun dalam hidup mereka.

Ah, susahnya bila sudah sayang, berjauhan itu memeritkan.

Aku harus tabah. Jangan sebarangan menaburkan sayang lagi. Limitkan rasa sayang itu, supaya bila terpaksa melepaskan, peritnya tidak terlalu pahit.  

Sayang itu. Kerana Allah kan? Mengapa terlalu sedih? Harus yakin Allah akan menjaga mereka selalu. Ya! Allah akan menjaga mereka selalu.

Kelak, insyaAllah kita akan bertemu kembali. Jika bukan di dunia, insyaAllah di syurgaNya kelak.

Ameen. Pelihara sayang kami, ikhlas keranaMu ya Allah.

P/s: aku sayang kamu, semoga menjadi isteri solehah dan ibu mithali.

Aku sayang kamu, selamat meneruskan perjuangan pengajianmu di Malaysia.

Terus mendoakan aku di sini ya :)


Aku yang masih tidak matang,
MHZ,
Beyt SQ,
5.35am
23 oct 2013

Wednesday, October 16, 2013

of Korban, Eid Adha 1434H

Eidul Adha.

Atau lebih dikenali dengan Hari raya korban di kalangan org melayu.

Korban itu...
Bukannya bermaksud mengorkankan perut anda dengan melahap juadah2 enak di pagi raya.

Juga bukan mengorbankan wang berlebihan untuk sambutan dan pakaian raya.

Tapi korban itu adalah...
Meninggalkan sesuatu yg sangat kita sayangi, untuk mencari cinta Allah dan mendapatkan redhaNya.

Seperti mana Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anaknya Ismail kerana suruhan Allah dan cintanya kepada yang Esa.

Oleh itu, mari kita korbankan jahiliah-jahiliah diri dan tinggalkan cinta kepada dunia ini, 
Untuk lebih taqarrub kepada Allah.

Mari korbankan keseronokan mengejar harta dunia, untuk kita mengejar redhaNya dengan lebih cool dan bergaya!

Jom!!


Salam Eidil Adha kepada semua pembaca.
Moga ibrah dan pengajaran dari peristiwa kisah korban Nabi Ibrahim dapat kita serap dan menjadi kekuatan untuk hari-hari mendatang.

Sesuatu kejayaan datangnya dari banyak rentetan pengorbanan.
Sesuatu perubahan perlukan pengorbanan.

Maka, mari kita mengorbankan sesuatu.. sebelum sesuatu milik kita akan terkorban.
(ie: Mari kita korbankan cinta kepada dunia sebelum kita terkorban dan masuk ke nerakaNya. Nauzubillah min zalik)






p/s: Saya akan menduduki exam final bermula ahad ini. (which is ni exam yg plg susah dlm hidup saya..) So, maybe blog ini akan bersawang buat seketika waktu. Harap maaf ye. Mohon doakan kejayaan saya.. syukran. Moga Allah menganjari sebaik-baik pahala kpd anda semua.. (^.^)

Salam khuruf,
MHZ,
Salam eidul adha. Kullu sanah wa antum taiyyibin. 
6.45pm. Cairo.


Saturday, September 28, 2013

S.Y.U.K.U.R


S.Y.U.K.U.R


“ Ain, awak sihat ke? How was the exam?”

“ Allah, Fatin. Seriously inilah exam yang paling killer sekali sepanjang saya ambil course medic ni. Bila dah masuk tahun akhir ni, baru saya rasa macam nak drop course ini. Susah sangat”

“ Sabar lah. Dah kita tengah belajar tentang badan manusia, sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Mesti lah payah dan complex sedikit”, Fatin cuba memujuk.

“Erm, betullah. Bila belajar medic ni mengajar saya bersyukur. Bila tengok pesakit, baru saya bersyukur sangat yang kita ni sebenarnya diberi kesihatan yang baik setiap hari. Allah dah kurniakan macam-macam nikmat dekat kita sebenarnya”

"Betul.  Setuju sangat. Setiap kali jumpa pesakit yang terhalang rutin hariannya, yang hanya terbaring di wad. Susah nak makan, buang air pun sampai kena orang lain dukung ke tandas, saya bersyukur sangat Allah masih bagi kita peluang untuk makan, minum, buang air, berjalan, tidur dan buat kehidupan seharian dengan normal, tanpa apa-apa sekatan. Kalau dulu kita selalu gelakkan orang yang kentut, tapi sebenarnya kalau tak dapat kentut, boleh jadi sakit tau"

" Huu, kecil-kecil dulu memang kerja nak menyakat orang sahaja.Apabila sudah besar ni barulah faham nilai nikmat yang Allah dah berikan”.

***

Tet..tet..

One message received.

Open.

“ Ain, jangan lupa tau tugasan awak untuk usrah malam ni. Bagi tazkirah mantap-mantap ya. Akak dah lama tak dengar suara awak. Miss you ukhti”

Message dari naqibah.

“Alamak, macam mana boleh terlupa yang malam ni ada usrah? Alhamdulillah. Mujur petang ni tiada kelas tutorial. Boleh nak bersiap untuk ke usrah.

Dan Ain pun mempercepatkan langkahnya pulang ke rumah.

***

“ Hitunglah. Kadang-kadang kita selalu rasa Allah tak adil dekat kita. Apa yang kita minta, tak semua benda Allah kabulkan. Lagi bertambah sakit hati bila kita tengok kawan sekelas kita belajar santai , tetapi dapat score 4 flat memanjang, sedangkan kita dah belajar teruk siang malam. Tapi sampai sekarang result masih cukup-cukup makan sahaja.

Tapi kita kena selalu ingat, sentiasa ucapkan Alhamdulillah dan syukuri nikmat yang Allah sudah berikan kepada kita. Kerana Allah memberi perkara yang kita perlukan, dan bukannya perkara yang kita mahukan..”

" dan apabila kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dgn sombong), tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa" (Fussilat: 51)

Kata-kata Allah ni ada benarnya. Manusia ni kebanyakannya dengan manusia sendiri pun susah hendak berterima kasih..apatah lagi dengan Tuhan? 

Apabila Allah mention ayat ni dalam al-Quran, rasa malu sangat. Terang-terangan yang manusia ni memang macam ni kan? Bila susah. bila nak exam, bila nak kahwin, bila kemalangan, apabila ditimpa bencana, berbuih-buih mulut kita berdoa kepada Allah. Tapi apabila kita tengah senang lenang, al-Quran satu muka surat pun susah kita nak baca.

Sedangkan Allah sentiasa mengurniakan kita oksigen, rezeki, wang, kesihatan yang bagus, keluarga dan ibubapa yang penyayang, rumah sebagai perlindungan, kenderaan untuk memudahkan pergerakan, tetapi kerana kita sudah setiap hari bangun tidur dan melalui rutin harian yang sama, sampaikan kita lali dan lupa yang setiap hari rahmat Allah sentiasa berada di sisi kita.

Kita dapat makan sepinggan nasi sewaktu lunch tadi pun sudah dikira rahmat Allah yang sangat besar. 

Bayangkan ada sahaja orang di sekeliling kita yang tak mampu nak makan sepinggan nasi kerana tiada wang. Atau pun ada yang punya wang, nasi sudah berada di hadapan mata, tetapi tidak dapat menjamahnya kerana sakit gigi atau tidak sihat”

Rezeki budak kecil ini ada makanan untuk dijamah. Hari-hari biasa dia?


Allah hadirkan alam di sekeliling kita untuk kita jadikan mereka guru kita, supaya kita sentiasa mensyukuri semua yang Allah kurniakan kepada kita. Jangan mengeluh walaupun rezeki yang dikurniakan hanya sedikit di mata kita.

Kerana keberkatan itu yang paling utama. 


Cuba kita tadabbur surah ar-Rahman. Mari kita hayati, sebenarnya surah ini sangat halus peringatannya. Pelbagai nikmat syurga yang akan dihidangkan kelak, jika kita menjadi penghuninya.

Buah-buahan yang enak. Sungai mengalir yang lazat airnya. Bersandar atas permaidani yang tebal dan dikelilingi bidadari yang jelita, bermata bundar dan tidak pernah disentuh.

Kemudian diceritakan pula betapa ‘horror’nya neraka. Diberi minuman dari air nanah yang mendidih dan menggelegak.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang Kamu dustakan?" ( Surah Ar-Rahman)

Jika dihitung, sebenarnya ayat ini diulang 31 kali di dalam surah ini. Sebagai peringatan kepada kita,  manusia yang selalu leka ni.

Apa yang Penting?
KEBERKATAN... !

Ain teringat semasa ain jumpa pesakit di wad pagi tadi, pesakit tu tak boleh nak senyum, air liur meleleh di bibir kirinya, pipi jatuh melonyot ke kiri. Selepas Ain ambil history, rupa-rupanya pakcik ni mengalami Bell Palsy, antara salah satu penyebab Facial Nerve Paralysis.

Mula-mula Ain ingatkan pakcik tu sengaja buat muka macam tu, tapi sebenarnya mukanya bukan dibuat-buat. Ain tak boleh baying macam mana tabahnya pakcik tu menghadapi kehidupan seharian dengan penyakit ini. Mesti ramai orang anggap pakcik ni sombong, tak mahu senyum. Sedangkan pakcik ni memang tak boleh nak senyum, walaupun ketika dia gembira.
                                         
Baiklah, setakat ini sahaja tazkirah daripada Ain. Boleh Ain tutup tazkirah ni dengan sepotong ayat al-quran? Daripada surah Ibrahim ayat 7, berbunyi:

"Sekiranya kamu bersyukur, akan Ku tambahi nikmati Ku kepadamu dan jika kamu mengingkari nikmat Ku, sesungguhnya azab Ku amatlah pedih"

Harapnya  tazkirah ringkas dari Ain ini dapat membuka mata hati kita semua, bahawa sebenarnya nikmat Allah ini sangat luas tak terhitung. Dan yang paling tidak terkira adalah nikmat kita menjadi orang Islam, nikmat hidayah ini. Cuba lihat di luar sana, berapa ramai yang mengaku islam, tetapi sayang seribu kali sayang, mereka tidak menyedari istimewanya Islam ini.

Menjadi orang islam ni, senang sahaja mahu mendapat pahala. Buat apa sahaja ada sahaja adab-adabnya. Membaca Al-quran, makan, bersukan, belajar semuanya boleh mendapat pahala jika niatnya betul ikhlas kerana Allah.

Dan tetaplah kita bersyukur selagi mana Allah masih menggerakkan hati kita untuk mencintai kebaikan.” Ain menutup bicaranya kemas.



***

"Ain, akak nak pesan satu perkara. Kalau pun awak rasa course medical ni tak sesuai dengan jiwa awak, tapi ingat tau, kalau lah dengan course ni, setiap hari awak berjumpa pesakit, akan menambahkan lagi syukur awak kepada Allah. Then you should stay strong. Awak kena tetap bertahan tau. Allah sedang merancang yang terbaik untuk awak. Akak yakin, " pesan naqibahnya di akhir pertemuan mereka malam itu.

" Terima kasih akak sebab selalu motivate saya. InsyaAllah saya cuba yang terbaik. Doakan saya. Akak pun All the best dalam study akak"

Dan senyuman manis menguntum di bibir mereka.

P/S: Syukuri nikmat Allah. Alhamdulillah ala kulli hal~


MHZ, 
My Harmonica Zine

TengahStudyLeave,
Final Exam, 22 hari lagi...Doakan saya ye (^.^)v

Sri Saujana, Gombak
10.15pm




Thursday, September 19, 2013

Mesir II: Mengapa Membenci Morsy




p/s: post ini adalah re-post daripada satu artikel saya di Majalah JOM Isu 17. Saya post semula di blog ini, atas permintan sahabat-sahabat yang tak sempat nak mencari majalah tersebut. Selamat membaca! (^.^)


REVOLUSI 25 JANUARI 2011

Dalam pada berjuta-juta rakyat Mesir bersorak gembira di medan Tahrir, menyambut kejatuhan Husni Mubarak, rupa-rupanya masih ada segelintir golongan yang ‘panas hati’memerhatikan mereka dari jauh. Mereka hanya mampu berpeluk tubuh melihat kejatuhan pemimpin pujaan mereka kerana tidak mampu melawan suara rakyat yang mahukan perubahan.

Masa berlalu. Tampuk pemerintahan bertukar tangan. Tepat 30 jun 2012, Dr Morsy dinobatkan sebagai Presiden Mesir secara sah selepas memenangi pilihan raya Mesir secara adil, kalah tipis dengan calon pilihan saki baki regim Mubarak, Ahmad Syafiq. Rakyat menyambutnya dengan sorak gembira. Hon-hon kenderaan bingit kedengaran di jalan raya, lagu-lagu kegembiraan dimainkan, bunga api mewarnai Medan Tahrir, malah beberapa buah kedai membuat sale sempena perlantikan Dr Morsy.


Kemenangan Dr Morsy

Ternyata, kemenangan Dr Morsy memberikan segaris senyuman di bibir pejuang islam, dan memberikan harapan kepada pembebasan Palestine di samping memberikan hentakan besar dan ‘memanaskan punggung’ pesaingnya. 

Akibatnya kita boleh memahami betapa tekanan pengaruh politik selain kumpulan Islam turut menimbulkan masalah kepada  Morsi dalam usaha meneruskan agenda demokrasinya. Golongan Liberal dan Sekular juga mempunyai pengaruh di kalangan kelompok elit dan pertengahan Mesir. Kelompok ini walaupun telah bersatu menjatuhkan Mubarak bersama kumpulan Islam, namun tidak semestinya mereka bersetuju dengan kumpulan Islam dari sudut memerintah negara.


Ancaman islam kepada kaum secular dan liberal

Bangsa Arab, sebahagian besarnya adalah pengamal Islam dan menolak sekularisme dan liberalism. Sekularisme dilihat sebagai idealogi kekal permusuhan terhadap Islam, dan bukannya setakat idealogi yang ingin memisahkan politik dan agama semata-mata.

Dari perspektif keilmuan pula, Al-Azhar,pusat pengajian terbesar dunia Islam turut dicemburui oleh pihak secular dan liberal. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya ribuan ulama dan jutaan murabbi yang bertebaran ke seluruh dunia menyentuh hati-hati manusia dengan nur islam. Sekaligus menjadikan Mesir mendapat kedudukan istimewa di dunia islam dan membawa perubahan yang turut memberi kesan kepada musuh-musuh islam. Maka, kehebatan ini harus dinoktahkan. 

Beliau, seorang Hafiz Al-Quran

Pemerintahan Dr Morsy

Pada awal pemerintahan Dr Morsy, beliau disambut dengan sokongan padu oleh rakyat tanpa sebarang tentangan. Namun,  sejak tindakan beliau menggubal perlembagaan baru, memecat Hussein Tantawi sebagai Ketua Dewan Agung Angkatan Bersenjata Mesir, menukar kepimpinan dalam perundangan, membuka semula kes-kes jenayah lama yang tidak dibela, melepaskan tahanan IM dari penjara, memudahkan urusan keluar masuk ke Gaza melalui pintu Rafah, lantang bersuara mengecam rejim Basyar Asad  dan lain-lain lagi dianggap sebagai ancaman yang bakal membawa kepada ‘pengakhiran’ segelintir golongan itu, mereka mula bangkit bersuara.

Tepatlah jangkaan mereka bahawa Dr Morsy dan IM akan mewakili kekuatan Islam yang syumul serta membawa umat Islam berjaya menuju masa depan kemuliaan Islam.
Inilah faktor mengapa Ikhwan menghadapi perlawanan yang begitu sengit. Ikhwan diserang, difitnah, dan diputarbelitkan oleh sejumlah besar musuh-musuhnya dalam kalangan Yahudi, Zionisme, Nasionalisme Arab, kaum Sekuler dan Liberal, yang sekarang berganding tangan menghentam Ikhwan.

Maka, bertopengkan semangat cintakan negara, pihak secular dan liberal mula mengapi-apikan ‘dosa-dosa’ Morsy di mata rakyat jelata. Mereka menyeru rakyat menuntut hak-hak mereka. Dan menghembus tuduhan keji IM mengutamakan kepentingan ideologi golongannya serta menjadi ancaman perpecahan bangsa dan Negara .Tetapi sebenarnya mereka berjuang untuk kepentingan peribadi, kerana selama-lamanya pemikiran mereka tidak akan sefahaman dengan sistem islam yang syumul.

Oleh itu, rakyat mesir dibonekakan. Bermodalkan isu minyak, air, elektrik, sampah, roti dan lain-lain keperluan seharian, mereka memperkudakan golongan bawahan yang buta politik. Ditambah dengan wayang geng fulul yang memburukkan keadaan, mengupah gangster membuat kekacauan di merata-rata tempat, dan akhirnya rakyat semakin memberontak.

Kekecohan semakin parah apabila media massa menunjukkan ‘taring ‘ mereka. Sebahagian pemikiran rakyat Mesir masih mentah di dalam beberapa aspek politik Mereka tidak memahami sistem kerajaan dan sentiasa mencari kambing hitam untuk disalahkan. Hanya khabar buruk sahaja yang dihidangkan kepada rakyat. Mereka menyalahkan IM yang setia berdiri di belakang Morsy dan menyalahkan Dr Morsy dengan kejatuhan matawang USA Dollar. Media memburukkan lagi pemerintahan islam, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka tidak mampu mentadbir sebuah negara. Semua ini menjadi skrip-skrip yang masuk ke pemikiran cetek mereka tanpa tapisan.


Realiti

Pemerintahan Dr Morsy penuh pancaroba dalam membaiki luka puluhan tahun pemerintahan kediktatoran bermula zaman firaun sehingga Husni Mubarak. Banyak pihak yang mempunyai kepentingannya tersendiri.

Morsi juga tersepit di celah-celah gelombang Salafi, IM dan kelompok Islam sederhana, secular dan liberal. Saki-baki regim Mubarak yang mempunyai dendam dengan Ikhwan masih berpengaruh di dalam institusi kehakiman, tentera, polis dan kementerian-kementerian tertentu menyebabkan Presiden belum menguasai keadaan sepenuhnya. Disamping Amerkida dan sekutunya masih memantau dari jauh.
Bayangkan bagaimana Morsi terpaksa membuat beribu-ribu perkiraan sebelum mengambil risiko atas apa juga usaha yang cuba dilakukannya bagi memenuhi hasrat rakyat dan juga menepati janjinya kepada para syuhada yang gugur demi membayar harga sebuah kebebasan dari regim dictator. Beliau terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Dalam mahu memperbaiki kefasadan yang sudah berakar umbi ,masakan mampu dilaksanakan sekelip mata? Seorang diri?

Sayangnya, rakyat yang tergesa-gesa ini sudah tidak menerima alasan.  Maka berlakulah perhimpunan 30 June 2013. Pertembungan antara haq dan batil. Antara pro-Morsy dan anti-Morsy.

Kerana itu Sheikh Yusof Qardhawy menempelak mereka, “Kamu sanggup bertahan dengan  Mubarak selama 30 tahun, dengan Morsy setahun pun kamu tak tahan? Apa kena dengan kamu! Ingat semula kita bersama-sama bantu-membantu ketika revolusi 25 Januari lepas”

Masih terbayang akan ketelusan penyokong Morsy berhimpun di Dataran Rabaah, tanpa sebarang senjata, hanya ditemani sepanduk dan laungan-laungan jihad. Mereka mulakan hari-hari mereka dengan qiamullail. Namun, Allah mentakdirkan yang berada di Medan Tahrir itu yang menang.

Namun, apabila haq dipijak dan sekular dijadikan kiblat, maka semua pengorbanan Morsy memperbaiki negara ini hanya dipandang sebelah mata.

Logik akal, mampukah Mesir diperintah oleh mereka yang cetek ilmu ini? Hanya terpekik mencaci kebenaran, menghancurkan masjid sesuka hati, dan mencabul kehormatan perempuan yang lalu lalang di Tahrir?

Entah. Mungkin Allah ada rencanaNya sendiri. Cuma manusia sahaja yang naif dalam memahami rencanaNya. Peristiwa di Turki 1997 sedang berulang kembali .

Pertembungan haq dan batil ini bukanlah sejarah baru, malah sudah berlaku telah berlaku ribuan tahun yang lampau, saat Nabi Musa mahu membebaskan Mesir dari kezaliman Firaun. 

Pertembungan haq dan batil akan silih berganti sehingga kemenangan Islam yang hakiki kelak.
Tidak diragui Islam akan menang cepat atau lambat, walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan konspirasi .Hal ini mungkin memakan masa, tetapi pada akhirnya Islam akan menang. InsyaAllah!


p/sss: post yang ala-ala lebih kurang, boleh baca di SINI.

dan artikel ini ditulis sebelum berlakunya rampasan kuasa. Terus mendoakan Mesir ye sahabat semua :D


MHZ,
Sri Saujana, 
12.17am
19 sep 2013