Thursday, September 19, 2013

Mesir II: Mengapa Membenci Morsy




p/s: post ini adalah re-post daripada satu artikel saya di Majalah JOM Isu 17. Saya post semula di blog ini, atas permintan sahabat-sahabat yang tak sempat nak mencari majalah tersebut. Selamat membaca! (^.^)


REVOLUSI 25 JANUARI 2011

Dalam pada berjuta-juta rakyat Mesir bersorak gembira di medan Tahrir, menyambut kejatuhan Husni Mubarak, rupa-rupanya masih ada segelintir golongan yang ‘panas hati’memerhatikan mereka dari jauh. Mereka hanya mampu berpeluk tubuh melihat kejatuhan pemimpin pujaan mereka kerana tidak mampu melawan suara rakyat yang mahukan perubahan.

Masa berlalu. Tampuk pemerintahan bertukar tangan. Tepat 30 jun 2012, Dr Morsy dinobatkan sebagai Presiden Mesir secara sah selepas memenangi pilihan raya Mesir secara adil, kalah tipis dengan calon pilihan saki baki regim Mubarak, Ahmad Syafiq. Rakyat menyambutnya dengan sorak gembira. Hon-hon kenderaan bingit kedengaran di jalan raya, lagu-lagu kegembiraan dimainkan, bunga api mewarnai Medan Tahrir, malah beberapa buah kedai membuat sale sempena perlantikan Dr Morsy.


Kemenangan Dr Morsy

Ternyata, kemenangan Dr Morsy memberikan segaris senyuman di bibir pejuang islam, dan memberikan harapan kepada pembebasan Palestine di samping memberikan hentakan besar dan ‘memanaskan punggung’ pesaingnya. 

Akibatnya kita boleh memahami betapa tekanan pengaruh politik selain kumpulan Islam turut menimbulkan masalah kepada  Morsi dalam usaha meneruskan agenda demokrasinya. Golongan Liberal dan Sekular juga mempunyai pengaruh di kalangan kelompok elit dan pertengahan Mesir. Kelompok ini walaupun telah bersatu menjatuhkan Mubarak bersama kumpulan Islam, namun tidak semestinya mereka bersetuju dengan kumpulan Islam dari sudut memerintah negara.


Ancaman islam kepada kaum secular dan liberal

Bangsa Arab, sebahagian besarnya adalah pengamal Islam dan menolak sekularisme dan liberalism. Sekularisme dilihat sebagai idealogi kekal permusuhan terhadap Islam, dan bukannya setakat idealogi yang ingin memisahkan politik dan agama semata-mata.

Dari perspektif keilmuan pula, Al-Azhar,pusat pengajian terbesar dunia Islam turut dicemburui oleh pihak secular dan liberal. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya ribuan ulama dan jutaan murabbi yang bertebaran ke seluruh dunia menyentuh hati-hati manusia dengan nur islam. Sekaligus menjadikan Mesir mendapat kedudukan istimewa di dunia islam dan membawa perubahan yang turut memberi kesan kepada musuh-musuh islam. Maka, kehebatan ini harus dinoktahkan. 

Beliau, seorang Hafiz Al-Quran

Pemerintahan Dr Morsy

Pada awal pemerintahan Dr Morsy, beliau disambut dengan sokongan padu oleh rakyat tanpa sebarang tentangan. Namun,  sejak tindakan beliau menggubal perlembagaan baru, memecat Hussein Tantawi sebagai Ketua Dewan Agung Angkatan Bersenjata Mesir, menukar kepimpinan dalam perundangan, membuka semula kes-kes jenayah lama yang tidak dibela, melepaskan tahanan IM dari penjara, memudahkan urusan keluar masuk ke Gaza melalui pintu Rafah, lantang bersuara mengecam rejim Basyar Asad  dan lain-lain lagi dianggap sebagai ancaman yang bakal membawa kepada ‘pengakhiran’ segelintir golongan itu, mereka mula bangkit bersuara.

Tepatlah jangkaan mereka bahawa Dr Morsy dan IM akan mewakili kekuatan Islam yang syumul serta membawa umat Islam berjaya menuju masa depan kemuliaan Islam.
Inilah faktor mengapa Ikhwan menghadapi perlawanan yang begitu sengit. Ikhwan diserang, difitnah, dan diputarbelitkan oleh sejumlah besar musuh-musuhnya dalam kalangan Yahudi, Zionisme, Nasionalisme Arab, kaum Sekuler dan Liberal, yang sekarang berganding tangan menghentam Ikhwan.

Maka, bertopengkan semangat cintakan negara, pihak secular dan liberal mula mengapi-apikan ‘dosa-dosa’ Morsy di mata rakyat jelata. Mereka menyeru rakyat menuntut hak-hak mereka. Dan menghembus tuduhan keji IM mengutamakan kepentingan ideologi golongannya serta menjadi ancaman perpecahan bangsa dan Negara .Tetapi sebenarnya mereka berjuang untuk kepentingan peribadi, kerana selama-lamanya pemikiran mereka tidak akan sefahaman dengan sistem islam yang syumul.

Oleh itu, rakyat mesir dibonekakan. Bermodalkan isu minyak, air, elektrik, sampah, roti dan lain-lain keperluan seharian, mereka memperkudakan golongan bawahan yang buta politik. Ditambah dengan wayang geng fulul yang memburukkan keadaan, mengupah gangster membuat kekacauan di merata-rata tempat, dan akhirnya rakyat semakin memberontak.

Kekecohan semakin parah apabila media massa menunjukkan ‘taring ‘ mereka. Sebahagian pemikiran rakyat Mesir masih mentah di dalam beberapa aspek politik Mereka tidak memahami sistem kerajaan dan sentiasa mencari kambing hitam untuk disalahkan. Hanya khabar buruk sahaja yang dihidangkan kepada rakyat. Mereka menyalahkan IM yang setia berdiri di belakang Morsy dan menyalahkan Dr Morsy dengan kejatuhan matawang USA Dollar. Media memburukkan lagi pemerintahan islam, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka tidak mampu mentadbir sebuah negara. Semua ini menjadi skrip-skrip yang masuk ke pemikiran cetek mereka tanpa tapisan.


Realiti

Pemerintahan Dr Morsy penuh pancaroba dalam membaiki luka puluhan tahun pemerintahan kediktatoran bermula zaman firaun sehingga Husni Mubarak. Banyak pihak yang mempunyai kepentingannya tersendiri.

Morsi juga tersepit di celah-celah gelombang Salafi, IM dan kelompok Islam sederhana, secular dan liberal. Saki-baki regim Mubarak yang mempunyai dendam dengan Ikhwan masih berpengaruh di dalam institusi kehakiman, tentera, polis dan kementerian-kementerian tertentu menyebabkan Presiden belum menguasai keadaan sepenuhnya. Disamping Amerkida dan sekutunya masih memantau dari jauh.
Bayangkan bagaimana Morsi terpaksa membuat beribu-ribu perkiraan sebelum mengambil risiko atas apa juga usaha yang cuba dilakukannya bagi memenuhi hasrat rakyat dan juga menepati janjinya kepada para syuhada yang gugur demi membayar harga sebuah kebebasan dari regim dictator. Beliau terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Dalam mahu memperbaiki kefasadan yang sudah berakar umbi ,masakan mampu dilaksanakan sekelip mata? Seorang diri?

Sayangnya, rakyat yang tergesa-gesa ini sudah tidak menerima alasan.  Maka berlakulah perhimpunan 30 June 2013. Pertembungan antara haq dan batil. Antara pro-Morsy dan anti-Morsy.

Kerana itu Sheikh Yusof Qardhawy menempelak mereka, “Kamu sanggup bertahan dengan  Mubarak selama 30 tahun, dengan Morsy setahun pun kamu tak tahan? Apa kena dengan kamu! Ingat semula kita bersama-sama bantu-membantu ketika revolusi 25 Januari lepas”

Masih terbayang akan ketelusan penyokong Morsy berhimpun di Dataran Rabaah, tanpa sebarang senjata, hanya ditemani sepanduk dan laungan-laungan jihad. Mereka mulakan hari-hari mereka dengan qiamullail. Namun, Allah mentakdirkan yang berada di Medan Tahrir itu yang menang.

Namun, apabila haq dipijak dan sekular dijadikan kiblat, maka semua pengorbanan Morsy memperbaiki negara ini hanya dipandang sebelah mata.

Logik akal, mampukah Mesir diperintah oleh mereka yang cetek ilmu ini? Hanya terpekik mencaci kebenaran, menghancurkan masjid sesuka hati, dan mencabul kehormatan perempuan yang lalu lalang di Tahrir?

Entah. Mungkin Allah ada rencanaNya sendiri. Cuma manusia sahaja yang naif dalam memahami rencanaNya. Peristiwa di Turki 1997 sedang berulang kembali .

Pertembungan haq dan batil ini bukanlah sejarah baru, malah sudah berlaku telah berlaku ribuan tahun yang lampau, saat Nabi Musa mahu membebaskan Mesir dari kezaliman Firaun. 

Pertembungan haq dan batil akan silih berganti sehingga kemenangan Islam yang hakiki kelak.
Tidak diragui Islam akan menang cepat atau lambat, walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan konspirasi .Hal ini mungkin memakan masa, tetapi pada akhirnya Islam akan menang. InsyaAllah!


p/sss: post yang ala-ala lebih kurang, boleh baca di SINI.

dan artikel ini ditulis sebelum berlakunya rampasan kuasa. Terus mendoakan Mesir ye sahabat semua :D


MHZ,
Sri Saujana, 
12.17am
19 sep 2013


1 comment: