Pages

Friday, April 3, 2015

Rumah Islam Kita (RI)




"Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah merupakan dua kewajipan asas di atas jalan dakwah dan wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan wanita. 
Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya iaitu menegakkan rumahtangga muslim.


Individu muslim itu adalah seorang manusia akidah yang wajib disediakan untuk menjadi muslim yang sejati, yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan pemimpin yang patut diikuti.

 Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam." 
(Jalan Dakwah, Mustapha Mahsyur)



Maka disimpulkan di sini, terdapat 3 perkara asas di dalam dakwah:
1. Islah nafsak ( perbaiki dirimu) 
2. Wad'u ghairak ( menyeru orang lain) 
3. Menegakkan rumah tangga muslim.


Tetapi, sebelum mencapai fasa baitul muslim, terdapat satu fasa yang penting di antara Individu Muslim dan Baitul Muslim.


Iaitu RI. Rumah Islam.






Perumpamaan Rumah Islam

Rumah Islam seperti mengemudi sebuah feri. Yang dinaiki oleh penumpang-penumpang yang ingin menuju ke tujuan yang sama.


Islamnya rumah itu, bukan kerana namanya. Tetapi kerana Roh yang dibangunkan di dalamnya bersama-sama.


"Demi hidupmu, tidaklah negeri sempit kerana penduduknya. Tetapi yang menjadikannya sempit ialah akhlak pemimpin-pemimpinnya.” (As-Syahid Hassan Al Banna)

Saya melihat RI seperti sebuah negeri. Luas atau sempitnya rumah ini terletak kepada akhlak-akhlak penghuni di dalamnya. Tiada guna ruang tamu yang luas, bilik tidur yang banyak, tandas dan dapur yang selesa jika tiada roh islam di dalamnya.


Di dalam RI juga kita melatih 10 muwasafat tarbiah kita.

Namun tak dinafikan membina Rumah Islam adalah satu tarbiah yang sangat mencabar. Saya sendiri pernah melalui pelbagai adegan air mata sepanjang saya tinggal di RI.

Memilih dan mencari rumah yang selesa itu satu perkara. Kemudian membangunkannya dengan roh islam itu satu perkara pula.

Namun ketahuilah, di sebalik setiap mujahadah itu, terselit kemanisannya. Kerana kita tahu, kenapa kita bersusah payah membinanya.



1. Perbaharui niat. Menghidupkan RI adalah satu ibadah.

Seperti yang kita tahu, hidup di muka bumi ialah untuk beribadah. Baik kita belajar, bekerja, berkahwin malah harta dan masa kita adalah alat untuk beribadah. Maka, mendirikan rumah Islam itu termasuk di dalam salah satu ibadah.

Jika semua ikhwah akhwat merasakannya sebagai ibadah, maka semua mereka akan bersungguh-sungguh dan beriltizam untuk menjaga rumah itu sebaiknya. Bukan semata-mata RI itu kerana terpaksa atau kerana suka-suka.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah SAW bersabda, 

“Mudah-mudahan Allah merahmati seorang suami yang bangun pada tengah malam lalu mengerjakan solat dan membangunkan isterinya sama-sama melakukan solat. Sekiranya dia enggan, maka dipercikkannya ke wajahnya. Mudah-mudahan Allah merahmati seorang isteri yang bangun tengah malam untuk mengerjakan solat dan juga membangunkan suaminya, jika dia enggan, maka dipercikkanlah air ke mukanya.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Di dalam situasi RI ini, alangkah baiknya jika kita berkongsi masa beribadah. Berbahagi pahala bersama. Contohnya, seorang ukhti yang bangun awal, kemudian dia membangunkan ukhtinya yang lain, mengejut ukhtinya bangun sahur dll.

2. Kebahagiaan RI yang dicita-citakan.

Kebahagiaan ni sebenarnya datang dari dalam diri. Dari ketaqwaan kepada Allah. Bukannya bergantung kepada luaran: rumah yang besar, makanan yang mewah, perhiasan rumah yang cantik dan sebagainya.



Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. (Al-Baqarah 2:103)

3. Iltizam dengan batas-batas Islam

Sudah nama pun Rumah Islam, maka haruslah ia selari dengan batas-batas Islam. Sayar teringat pesanan naqibah saya dahulu”

Seronoknya tarbiah di RI ni, bila awak nak tekan movie korea, dengar lagu-lagu lagha, calling2/sms lelaki ajnabi, awak akan terasa malu sendiri. Takkan la kamu sanggup membuat sesuatu yang bukan Islam di dalam Rumah Islam?”

*dush* Pesanan ini selalu terngiang-ngiang di telinga, especially bila saya tengah futur.

Selain itu, Elakkan boros di dalam berbelanja. Sekalipun kita ingin menghias rumah kita, pastikan ianya tidak membazir.

4.  Good communication dan saling menjaga ukhwah


Dalam kita berukhwah, terima kelemahan setiap ukhti dan sama-sama memperbaikinya. Banyak masalah yang timbul bila kita beranggapan bahawa ukhti-ukhti kita akan memahami kita. Padahal sebenarnya tidak.
Maka, seringkali berlaku kes-kes makan hati, kecil hati, sehingga terbawa-bawa kepada cakap-cakap belakang yang akhirnya merosakkan ukhwah sesama ukhti.

Hati-hati jika ini berlaku.

Sekalipun kita merasakan bahawa rumahku syurgaku, namun kita perlu sedar bahawa dunia RI ini bukanlah jannatun naim, syurga yang kekal. Tetaplah memiliki hati yang lapang dan sentiasa menjaga sensitivity hati ukhti-ukhti lain. Lebih-lebih lagi, perempuan ini terkenal dengan sifat emosionalnya.




5. RI adalah tanggungjawab dan amanah


Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.(At-Tahriim 66:6)  

Lazimnya, kita selalu caring bila ada ahli rumah yang sakit dan tidak sehat. Sebagai ukhti, kita berusaha untuk menjaga makan pakainya ketika itu. Sedaya upaya kita cuba memenuhi apa-apa keinginannya. Dimasakkan bubur sebelum ke kuliah dan ebagainya.

Namun, tidak pula kita prihatin dengan kesihatan iman ukhti-ukhti kita. Bila ada ahli rumah yang melambatkan solat, yang marathon drama korea, tidak pula kita terasa perlu menatang imannya dengan baik.


6. Rumah muslim sebagai pusat memancarnya cahaya

Kita mahukan rumah muslim yang menjadi rumah api yang memberi petunjuk kepada orang yang sesat di sekelilingnya. Menjadi 'penerang' kepada ummah. Menjadi qudwah. Api yg akan menghapuskan kegelapan di sekelilingnya.

Kemudian api-api ini akan bertambah dan bersambunglah daerah-daerah nur sehingga mampu menerangi masyarakat. Sehingga negara itu mampu menjadi negara islam yang kuat asas islamnya.


Maka, akhirnya Ustaziatul Alam itu pasti akan tercipta.

Buatlah visi dakwah, perancangan peribadi kita dalam meracang setiap perkara. 

Bagaimana kita akan menghalakan rumah islam ini, sebenarnya sedikit sebanyak begitu jugalah bagaimana kita menghalakan rumah tangga kita kelak. Jika kita letakkan mind set duniawi sahaja, maka kita akan menghalakannya kepada dunia sahaja dan sebaliknya.


Gravity RI

Menjadi tuntutan, para daie perlulah bekerja dan masuk ke dalam masyarakat. Jika para daie mengasingkan diri ke dalam kelompok mereka sahaja, bagaimana mahu memperbaiki masyarakat yang fasad?

Kemudian, selepas bergelumang bersama masyarakat.para daie memerlukan satu tempat yang menjadi recharge energy imannya. Dan di sinilah pentingnya RI kepada para duat. Di saat dia penat dan lelah menghadapi manusia seharian, dia perlu kepada biah solehah yang mampu menariknya semula kepada Tuhan.

Jika tidak, duat tersebut akan tersasar mengikut arus masyarakatnya yang kacau.


Oleh itu, marilah kita sama-sama membangunkan RI kita. Bak kata Muharikah,



Kita mengimpikan biah yang mampu menjadikan kita lebih melaju dan melonjak lebih kehadapan dalam dua aspek: hubungan dengan Allah dan amal dakwah.

Kita mahu hidup, tidur, makan, minum, gurau senda, dengan sahabat-sahabat yang melakukan semua perkara untuk Allah. Mempunyai rumah yang diinfakkan untuk dakwah. Rumah yang digunakan bukan sahaja dihiasi subuhnya dengan ma’thurat serta riyadus salihin, atau rumah yang memudahkan ahlinya untuk berqiyamullail, namun rumah yang intensif dan dinamik perbincangan dan praktikal amal dakwahnya.

Maka, lazimi membaca doa rabithah di dalam setiap doa kita. Supaya Allah sentiasa menyatukan hati-hati kita di dalam ketaatan dan ukhwah islamiah.

Saling support each other, dan saling menasihati dengan tutur kata yang baik. Hidupkan rumah kita, supaya ia mapu menjadi penerang kepada mad’u-mad’u kita, dan bukanlah sekadar sebuah rumah program.

Kerana sebenarnya masih ramai yang ingin tinggal di RI, tetapi tak berkesempatan kerana kekurangan RI dan sebagainya.


Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfaal 8:63)


Di sini saya juga ingin memohon maaf diatas mana-mana salah dan silap saya sepanjang saya berada di RI di Mesir. Terima kasih banyak-banyak kepada ahli beyt asrar, amru dan SQ kerana sudi menerima baik dan buruk saya sepanjang saya tinggal bersama kalian. Halalkan makan minum saya, atau ada terambil barang tanpa izin dan sebagainya. 

Moga Allah memberkati kehidupan kalian semua. (^.^) 
Selama-lamanya kalian tetap di hati.


** Sumber: Jalan Dakwah, Mustapha Mahsyur.


Uhubbukum fillah,

MHZ
3 April 2015, hari ketiga BFG,
10.40am

Gombak, KL

No comments:

Post a Comment